SELEPAS lebih tiga tahun menyepi, vokalis kumpulan Exists, Mamat dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, Johor atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 2019.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, dilaporkan pernah melakukan kesalahan sama pada 2016 dan 2018.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari dan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin ketika pertuduhan dibuat pada Selasa.
BACA LAGI: Tertekan, salah pilih kawan antara punca 5 selebriti Kpop terjebak bahan terlarang
Mamat ketika di Mahkamah Sesyen dan Majistret di Johor Bahru, Johor pada Selasa. — The Star
BACA LAGI: Yasin kemuka representasi teliti pertuduhan kes dadah
Pada 9 September 2019, Mamat didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine kira-kira pukul 2 pagi mengikut kertas pertuduhan pertama di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotk IPD Johor Bahru Utara.
Pelantun lagu Untukmu Ibu itu juga dilaporkan mempunyai pertuduhan kedua kerana memiliki dadah jenis sama seberat 0.17 gram pada pukul 11.35 malam di Taman Perling pada 8 September 2019.
Namun, di sebalik kes jenayah tersebut, orang ramai terutama peminat Mamat yang tidak lupa mendoakan penyanyi itu untuk terus berubah menjadi lebih baik.
Mengulas lanjut, salah seorang warga Facebook menggunakan akaun Veron Ransing meluahkan rasa simpatinya terhadap Mamat serta mencadangkan agar rakan selebriti turut mengambil perhatian berhubung kes itu.
"Aduh Mamat, mohon rakan artis tengokkan dia ni, usia masih muda, hidup ini keras bro, lawan lebih lagi okay," komennya.
Pada masa sama, ada juga mengaitkannya dengan salah seorang penyanyi terkenal yang pernah terlibat dalam kes dadah sebelum ini.
"Dia patut belajar dengan Ameng Spring macam mana nak pulih dan kalau perlu penjara untuk itu sambil khatam al-Quran dalam penjara, buatlah," tulis Manal Ismail Al-Masry.
Bukan sekadar itu, pengguna Facebook Lilly O'daisie menyatakan sokongannya dan memahami situasi yang dihadapi Mamat sekarang.
Luahnya, ketagihan dadah yang berlaku pada Mamat tidak mudah untuk ditinggalkan kerana ia berbeza dengan merokok.
"Bukan senang nak tinggalkan terus dadah, sedangkan rokok pun ada orang susah nak berhenti.
"Ini ujian untuk dia, selagi dia tak curi duit orang atau guna cara salah untuk dapat duit, bukan edar dadah untuk orang, selagi itu saya akan terus doakan Mamat," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram