Tak salah lelaki pilih wanita cerdik, beragama jika mahu berpoligami — Mufti Kelantan


  • Mukmin
  • Jumaat, 19 Jan 2024

Lelaki yang ingin berkahwin perlulah memilih pasangan mengikut kriteria yang disyariatkan dalam Islam. — Gambar hiasan

TIDAK salah jika seseorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami memilih pasangan yang berakhlak mulia dan cerdik kerana perkara itu sememangnya dituntut dalam agama.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kriteria memilih pasangan hidup sama ada isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat tetap sama seperti yang pernah dijelaskan Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

تُنكحُ المرأةُ لأربعِ: لِمالِها ولِحسبِها ولِجمالِها ولِدِينِها, فاظفرُ بِذاتِ الدينِ ترِبت يداك

Ertinya: "Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya; maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung." (HR Bukhari)

BACA LAGI: 'Eloklah jaga tepi kain sendiri', Lan Solo ulas isu anaknya dikecam

6d2c7b44-syarat-poligami

Seorang lelaki perlulah adil selepas memilih untuk hidup berpoligami. — Gambar hiasan

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, suami sememangnya bertanggungjawab mendidik seorang isteri, namun itu hanyalah perkara susulan yang dibuat selepas bernikah.

"Kata Nabi Muhammad SAW, pilihlah pasangan dengan elemen keagamaan kerana tanggungjawab suami isteri itu sendiri yang akan mendidik anak-anak dari buaian sehinggalah besar," katanya kepada Majoriti.

Namun, Mohamad Shukri menegaskan, poligami yang dibuat perlulah mementingkan aspek keadilan untuk membangunkan sebuah institusi keluarga yang harmoni dan dirahmati.

"Ada banyak syarat untuk berpoligami tetapi yang paling besar adalah keadilan.

"Dalam al-Quran juga menjelaskan kalau seseorang lelaki tak boleh berlaku keadilan cukup berkahwin satu sahaja.

" />

" />

"Sekarang, banyak orang yang berpoligami dia tak memberi hak kepada yang berhak," katanya.

Ia diperteguhkan lagi dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan).

"Dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’, ayat 129). Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram