Yasin kemuka representasi teliti pertuduhan kes dadah


Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya.

PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengemukakan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat bahawa pihaknya memfailkan representasi tersebut pada 26 September lepas.

"Saya memohon maaf kerana representasi tersebut diserahkan sedikit lambat iaitu pada 26 September 2022. Ini memandangkan beberapa dokumen perubatan penting yang kami terpaksa pohon baharu diperoleh dalam dua minggu lepas.

"Dokumen-dokumen ini (perubatan) kami masukkan di dalam representasi yang agak komprehensif agar pihak pendakwaan mengkaji pertuduhan tersebut,” kata Ariff Azami pada pengurusan kes pada Selasa.

Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha berkata, pihak pendakwaan menerima representasi itu dan masih dalam pertimbangan.

Mahkamah menetapkan 3 November ini untuk pihak pendakwaan memaklumkan keputusan representasi.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.

Pelantun lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada pukul 11.05 malam, 24 Mac lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada pukul 5.30 petang, 24 Mac lepas.

Pertuduhan memiliki dadah adalah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram