DI sebalik dunia glamor, industri hiburan turut terselindung dengan beberapa perkara 'gelap' seperti penyalahgunaan dadah.
Pelbagai perkara dikaitkan menjadi punca kepada golongan selenriti terlibat dengan perkara itu.
Tentu sahaja apabila perkara tersebut heboh dan mendapat pengetahuan umum, hal itu memberi 'luka' mendalam terhadap kerjaya artis terbabit.
Oleh itu, dinasihatkan agar jangan pernah sesekali terlibat dengan perkara tersebut kerana hanya mendatangkan kerungian dan merosakkan diri.
Bukan sahaja diri sendiri, malah kesalahan dadah juga memberikan imej buruk kepada negara dan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.
Justeru, berikut antara barisan selebriti Korea Selatan yang terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah:
Jung Il-hoon
Bekas anggota kumpulan BToB ini pernah didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dadah jenis ganja pada 2020.
Berita tersebut heboh diperkatakan dan memberikan kejutan besar kepada peminat industri hiburan memandangkan ketika itu dia sedang menjalani latihan ketenteraan.
Menurut laporan media tempatan, Mahkamah Daerah Pusat Seoul mendapati Jung terlibat dengan tujuh individu lain dalam urusan memdapatkan dadah terbabit dalam tempoh 30 bulan.
Pendakwa menuntut hukuman setimpal atas kesalahan itu memandangkan suspek turut menggunakan taktik jenayah licik iaitu berkomunikasi di laman web tertutup (dark web) dan mata wang kripto untuk bayaran.
G-Dragon
Anggota kumpulan BigBang, G-Dragon tidak terkecuali terlibat dengan kejadian penyalahgunaan dadah pada 2011.
Berdasarkan penjelasannya yang muncul dalam program Healing Camp, G-Dragon mengatakan dia mengambil rokok daripada individu yang tidak dikenali selepas hadir ke sebuah parti di Jepun.
Tanpa mengenali identiti orang itu, G-Dragon mengambil dan menghisap rokok berkenaan sehingga dia menyedari ada yang aneh dengan rasa rokok terbabit.
Kemudian, dia membuangnya dan membuat permohonan maaf atas tindakan itu dan berpendapat bahawa dirinya perlu lebih berhati-hati.
Top
Selain G-Dragon, seorang lagi ahli BigBang iaitu Top turut dikhabarkan terlibat dengan aktiviti jenayah penyalahgunaan dadah sebanyak empat kali pada 2016.
Dia dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan mengambil ganja kerana dikatakan berasa tertekan dengan kehidupan sebagai selebriti popular.
Disebabkan kejadian itu, dia tidak dibenarkan untuk muncul di mana-mana stesen televisyen selama dua tahun.
Namun, sehingga ke hari ini, kemunculan artis popular itu dikatakan masih terhad kepada program di stesen tertentu sahaja.
Psy
Siapa yang tidak mengetahui lagu Gangnam Style yang dinyanyikan oleh penyanyi popular Psy.
Media tempatan melaporkan Psy terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada November 2001 kerana kesalahan pengambilan bahan terlarang jenis ganja.
Difahamkan, dia terlibat dengan perkara itu kerana berasa tertekan untuk menghasilkan lagu yang bagus dalam tempoh yang singkat.
Ketika itu namanya tidak terlalu heboh seperti sekarang dan perkara tersebut tidak mendapat liputan meluas.
Bagaimanapun, Psy yang muncul dalam program Healing Camp pada 2013 mengakui tekanan dalam menghasilkan lagu dan meneruskan kelangsungan dalam industri membuatkan diri stres dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Ju ji-hoon
Aktor Ju Ji-hoon yang muncul dalam naskhah popular Netflix, Kingdom turut pernah terlibat dengan jenayah pengambilan dadah.
Beberapa tahun selepas dia popular dengan drama siri Princess Hours yang diterbitkan pada 2009, Ju mengaku menggunakan dadah jenis Methylenedioxyamphetamine (MDMA) dan ketamin.
Dia bersama tiga individu lain turut ditahan dalam skandal tersebut termasuk pelakon, Yoon Seol-hee.
Dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan digantung selama setahun dan dilarang muncul di tiga penyiar utama MBC, KBS DAN EBS.
Bagaimanapun, larangan tersebut ditarik balik oleh MBC pada 2013 manakala dua lagi stesen mengambil langkah sama pada 2019.
Meskipun pernah terlibat dengan kes sebegitu, peminat terus memberi sokongan kepadanya dan Ju sendiri berjanji tidak akan mengulangi perkara berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram