BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak Selasa bagi mendapatkan rawatan akibat jangkitan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi perkongsian di Facebook rasmi Dr Mahathir.
Menerusi hantaran itu, turut disertakan dua keping gambar yang memaparkan Dr Mahathir sedang menulis dan menyemak beberapa fail di wad IJN pada Khamis.
Dr Mahathir menyemak beberapa fail di wad IJN. — Facebook
Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang berusia 98 tahun itu pernah dimasukkan ke IJN pada 7 Januari tahun lepas bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari 2022.
Bagaimanapun beliau dimasukkan ke institut berkenaan semula dan menerima rawatan sehingga dibenarkan pulang 5 Februari tahun yang sama.
Beliau sekali lagi ditahan di IJN selepas disahkan positif Covid-19 pada 31 Ogos tahun lepas dan dibenarkan keluar daripada institut itu pada 4 September 2022.
Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada IJN. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram