'Semua sudah setuju', kenaikan tarif air tak boleh jadi modal politik pembangkang


  • Massa
  • Rabu, 17 Jan 2024

SPAN memaklumkan pelarasan tersebut akan membabitkan  kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun. — Gambar hiasan

PADA Rabu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan bahawa pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mengalami kenaikan tarif air bermula 1 Februari ini.

Peningkatan itu membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Dalam satu kenyataan, SPAN memaklumkan pelarasan tersebut akan membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Dengan langkah tersebut, pengguna dijangka mengalami kenaikan caj bil dalam julat antara antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari.

Kiraan kenaikan caj itu melibatkan isi rumah yang menggunakan air sebanyak 20 meter padu sebulan.

Ekoran daripada perkembangan tersebut, rata-rata warganet memberikan respons yang bercampur-baur berhubung langkah pelarasan tersebut.

Ini kerana di satu pihak, mereka berpandangan tindakan menaikkan tarif itu bakal membebankan rakyat yang ketika ini sudah pun ditekan dengan isu kenaikan kos sara hidup.

Pada masa sama, di pihak lain, mereka berpendapat langkah itu merupakan satu tindakan tepat bagi memastikan kelangsungan kualiti perkhidmatan air yang ditawarkan kepada rakyat di seluruh negara.

Ia dengan mengambil kira beban terpaksa dihadapi syarikat penyedia bekalan air di beberapa negeri yang terpaksa menanggung kos operasi yang tidak sepadan dengan harga perkhidmatan ditawarkan.

BACA LAGI: Peruntukan RM1.1 bilion bantu selesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan

Publics queuing to collect the water from the water tank station near the Seri Kembangan Air Selangor local service centre due the water disruption after the pollution at Sungai Semenyih plant. —AZMAN GHANI/The Star

Beberapa negeri di Malaysia dilaporkan masih lagi berhadapan dengan isu gangguan bekalan air bersih.

Sementara itu, terdapat warganet berpandangan bahawa isu kenaikan tarif air itu juga tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Ini kerana menurutnya, langkah tidak popular tersebut sememangnya dipersetujui oleh semua Kerajaan Negeri termasuk yang ditadbir oleh gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

"Kenapa semua negeri setuju termasuk kerajaan PN? Sebab masalah air berlaku kat semua negeri.

"Bukan setakat negeri PN, negeri PH (Pakatan Harapan) pun sama. Awal tahun ni Pulau Pinang tiada air selama 21 hari," tulis farhanzulkefly menerusi hantaran di laman X.

Menurutnya, langkah untuk tidak melakukan pelarasan baharu terhadap tarif air bakal memberikan kesan buruk terhadap usaha penyelenggaraan infrastruktur khususnya di negeri yang ketika ini berhadapan dengan masalah bekalan air bersih.

"Kenapa semua ni berlaku? (Isu bekalan air bersih). Sebab banyak punca yang menyebabkan masalah ini dan hampir semua masalah perlukan kos untuk baiki.

"Kenapa tak baiki? Sebab kos lebih tinggi daripada tarif air Sebab tu, bila ada paip pecah, sampai 40 tahun tak baiki. Kalau ini berterusan, kita akan berdepan dengan masalah keterjaminan air," ujarnya lagi.

Untuk rekod, SPAN dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan pelarasan tarif air itu dibuat berdasarkan keperluan dan permintaan Kerajaan Negeri.

BACA LAGI: Gangguan bekalan air di Lembah Klang bermula Selasa

Katanya, langkah tersebut juga tidak boleh ditangguhkan kerana supaya ia menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang dan seterusnya memberi impak terhadap kualiti perkhidmatan bekalan air kepada rakyat.

Tambahnya, kenaikan yang berlaku itu juga disifatkan masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar pada 2022.

Bagi meminimumkan kesan kenaikan tersebut terhadap bil air bulanan rakyat, SPAN berkata, operator bekalan air di setiap negeri diminta meneruskan inisiatif sedia ada.

Ia termasuk bantuan bersasar kepada pengguna domestik antaranya melalui pemberian rebat terhadap golongan berpendapatan B40. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram