Peruntukan RM1.1 bilion bantu selesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Kerajaan dalam Belanjawan 2024 berikrar untuk menamatkan kemelut air yang dihadapi di Kelantan, Sabah dan Labuan.— Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Kerajaan Perpaduan berikrar bahawa isu bekalan air bersih akan dinoktahkan terutamanya di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan sejumlah RM1.1 bilion diperuntukkan bagi isu tersebut.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Katanya, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan bagi meningkatkan rizab bekalan air di Kelantan.

Paip simen asbestos juga diganti bagi mengurangkan kadar kehilangan air serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor.

"Sementara menunggu projek siap, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan.

"Bagi mengatasi isu bekalan air khususnya di Kota Kinabalu, Sabah, tumpuan adalah untuk memulih dan menggantikan infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

"Manakala bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula, usaha ditumpukan kepada penggantian paip-paip yang usang serta membaik pulih infrastruktur air sedia ada," katanya.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar bakal menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram