PEMILIK restoran dan penduduk di Lembah Klang, Selangor sudah bersedia untuk pemotongan air berjadual yang dijangka bermula pada Selasa.
Peniaga restoran Eric Ng berkata, dia sudah membuat persiapan bagi menghadapi situasi itu dan mula mengeluarkan air dari tangki simpanan untuk digunakan pada hari tersebut.
"Kebanyakan pelanggan dijangka makan di luar kerana tiada air untuk memasak," katanya.
Menurut Air Selangor, pemotongan air berjadual akan berlaku di beberapa bahagian daerah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat berikutan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat.
Kerja-kerja menaik taraf akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 7 malam Selasa.
Menurut Air Selangor, bekalan air akan disambung semula secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang tengah hari Khamis.
Tempoh pemotongan dan pemulihan air bergantung kepada kawasan lokasi pengguna, tekanan air dan pengagihan sistem air.
Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan mengutamakan kemudahan kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan lokasi pengebumian.
Air untuk kegunaan komersial boleh dibeli dengan menghubungi Air Selangor di mana-mana pusat khidmat pelanggan.
Orang ramai juga boleh menggunakan lori tangki mereka sendiri untuk mengambil air dari dua stesen pengisian air di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara, Selangor.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari laman media sosialnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram