PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) tidak menolak kemungkinan kadar tarif bekalan air akan naik tanpa kawalan sekiranya kerajaan membenarkan operator air di setiap negeri menentukan sendiri mekanisme penetapan tarif air tanpa perlu persetujuan peringkat Persekutuan.
Presiden AWER, S Piarapakaran berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merupakan pengawal selia teknikal dan ekonomi bagi industri perkhidmatan air (Perawatan Air, Bekalan Air dan Perkhidmatan Pembentungan) di Semenanjung Malaysia dan Labuan.
Menurutnya, pelarasan tarif air sepatutnya dilakukan melalui mekanisme penandaarasan kos yang telus bagi memastikan hanya kos-kos yang cekap dan dikawal selia disalurkan kepada tarif air.
"Sebagai contoh, komponen perawatan dan bekalan air akan dikategorikan kepada kelompok-kelompok operasi yang hampir sama.
"Katakan ada 25 loji perawatan air merawat air mentah yang kualitinya hampir sama.
"Maka, dalam penandaarasan, kita akan memilih kos yang paling rendah sebagai kos tanda aras untuk semua 25 loji ini.
"Loji-loji yang beroperasi melebihi kos tanda aras ini tidak dibenarkan menyalur kos lebihannya," katanya kepada Majoriti.
Piarapakaran
Piarapakaran berkata, kaedah yang sama boleh dilaksanakan kepada kos elektrik, bahan kimia, kos pekerja dan sebagainya.
Ujarnya, proses tersebut dipersetujui pada 2009 dan kaedah penandarasan telah pun dibangunkan oleh SPAN menjelang 2016, namun malangnya ia tidak digunakan sehingga kini.
"Jika penandaarasan tidak dilakukan, memang ada kemungkinan kos-kos yang tidak patut dan tidak cekap akan disalurkan kepada tarif air," katanya.
Jelas Piarapakaran, pengumuman mengenai pelarasan tarif juga patut diumumkan oleh SPAN sebagai pengawal selia.
Tambahnya, sejak awal lagi AWER meminta agar proses penetapan tarif tidak dipolitikkan dan dilakukan dengan telus.
Malah, beliau sendiri terlibat dalam pembangunan sistem penetapan tarif air yang telus yang menggunakan mekanisme penandaarasan sejak SPAN mula ditubuhkan 16 tahun lalu.
"Kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan kuasa eksekutif bagi perawatan dan bekalan air kerana pengurusan di bawah kerajaan-kerajaan negeri sebelum itu tidak selaras dan lemah.
"Maka, penyerahan semula penetapan tarif air kepada kerajaan-kerajaan negeri adalah tidak wajar.
"Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan adalah pengguna domestik menggunakan hampir dua pertiga jumlah penggunaan air terawat.
"Jika kerajaan berhasrat menyalurkan sebahagian besar kos perawatan dan bekalan air kepada sektor perniagaan dan industri melalui tarif air, impak kepada kos perkhidmatan dan produk sememangnya akan meningkat," ujarnya.
Jika penandaarasan tidak dilakukan, ada kemungkinan kos-kos yang tidak patut dan tidak cekap akan disalurkan kepada tarif air.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, meskipun AWER sudah 'berbuih mulut' menasihati kerajaan untuk mengguna pakai kaedah kajian impak kenaikan tarif air dan elektik kepada sektor-sektor perniagaan dan anggaran impak kepada pengguna sebagai rujukan, namun ia masih tidak dilaksanakan.
"Kalau tarif air naik RM0.20 setiap meter padu (iaitu 1,000 liter) dan harga teh tarik naik RM0.10 atau RM0.20 setiap cawan (250 mililiter), ia memang tidak masuk akal.
"Agensi manakah yang akan pantau dan ambil tindakan? Maka, kegusaran ini wajar diambil kira terutamanya penetapan tarif air tidak mengguna pakai mekanisme penandaarasan," tegasnya lagi.
Jelasnya, dalam proses Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN), kerajaan merancang dengan teliti pelaksanaannya agar infrastruktur perkhidmatan air dapat dibangunkan dengan pesat.
Selain itu, kaedah itu juga dapat memastikan impak kepada tarif air adalah minimum.
Namun, jika SPAN masih tidak melaksanakan mekanisme penandaarasan, kos-kos tidak cekap akan disalurkan kepada tarif air.
"Ini sememangnya akan memberikan kesan tidak kira bagaimana ia disalurkan kepada pengguna sama ada penetapan tarif air dilakukan oleh SPAN atau kerajaan-kerajaan negeri.
"Akhirnya, semua kos ini akan ditanggung oleh pengguna di atas kos sara hidup yang semakin meningkat," ujar Piarapakaran.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dilaporkan kini dalam proses mengangkat Kertas Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan mekanisme penetapan tarif air yang baharu bagi dimuktamadkan di peringkat Kabinet.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sekiranya dipersetujui, mekanisme itu akan membenarkan operator air di setiap negeri menentukan sendiri mekanisme penetapan tarif air tanpa perlu persetujuan peringkat Persekutuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram