Tarif elektrik golongan T20 naik 10 sen mulai 1 Julai, kekal bagi pengguna domestik dan peniaga bawah 1,500 kWh


  • Primer
  • Jumaat, 23 Jun 2023

83,000 pengguna atau satu peratus pengguna voltan tinggi dan sederhana akan mengalami kenaikan bil elektrik sebanyak RM187 atau 25 peratus sebulan. — Gambar hiasan

PENGGUNA domestik dengan kadar penggunaan voltan tinggi melebihi 1,500 kWh atau bil bulanan minimum RM708 akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen kWh mulai 1 Julai depan hingga Disember 2023.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, ia meliputi 83,000 pengguna atau satu peratus pengguna yang akan mengalami kenaikan bil elektrik sebanyak RM187 atau 25 peratus sebulan.

Menurutnya, ia selaras dengan hasrat kerajaan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya memberikan subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar.

Bagaimanapun Nik Nazmi memaklumkan, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) tidak dilepaskan sepenuhnya.

"Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing," katanya dalam satu sidang media khas Penyelarasan Tarif Elektrik di bawah ICPT di Semenanjung Malaysia bagi Tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023 yang ditayangkan secara online pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan di bawah 1,500 kWH yang meliputi 99 peratus daripada pengguna domestik yang ada di Semenanjung Malaysia tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

Katanya, pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah, B dan D, tarif pertanian spesifik iaitu H, H1 dan H2, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dan surcaj ICPT 3.7 sen per kWH masih kekal.

Tambahnya, ia juga melibatkan perniagaan kecil termasuklah restoran, kedai runcit, kedai bakeri, bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan perniagaan lain seumpamanya.

Nik Nazmi memaklumkan, pengguna bukan domestik kategori baharu iaitu operator air dan pembentungan air di negeri-negeri juga akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen kepada 3.7 sen per kWh bermula Julai depan hingga Disember 2023.

"Ini bermakna operator-operator air kendalian kerajaan negeri akan menikmati surcaj lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

"Ia selaras dengan usaha bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana dan tinggi daripada kalangan industri dan komersial akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen kepada 17 sen per kWh.

Katanya, golongan berkenaan akan menikmati penurunan bil elektrik antara 28 hingga 35 peratus sebulan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram