Pelarasan tarif elektrik bermula 1 Januari ini tidak jejas 85 peratus pengguna domestik


  • Primer
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Langkah penyasaran semula subsidi elektrik yang bermula dari 1 Januari hingga 30 Jun 2024 di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT itu tidak akan melibatkan 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung Malaysia. — Gambar hiasan

SEBANYAK kira-kira 1.2 juta isi rumah dengan bil elektrik RM220 sebulan bakal mengalami kenaikan bil bulanan antara 4.2 hingga enam peratus mulai 1 Januari ini susulan langkah penyasaran semula subsidi elektrik oleh kerajaan.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan itu menyaksikan isi rumah yang terkesan akan membayar tambahan RM12 hingga RM32 setiap bulan bagi bil elektrik.

Bagaimanapun, langkah penyasaran semula subsidi elektrik yang bermula dari 1 Januari hingga 30 Jun 2024 di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) itu tidak akan melibatkan 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

Penyasaran terbabit menyaksikan ia hanya akan membabitkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik antara 601 hingga 1,500 kilowatt sejam (kWj) yang tidak lagi akan menikmati rebat dua sen/kWj.

Untuk tujuh juta pengguna dengan penggunaan kurang daripada 600 kWj, ST memaklumkan tiada perubahan berlaku dengan menyaksikan isi rumah berkenaan masih menikmati rebat dua sen/kWj.

Sementara itu, surcaj penggunaan elektrik pengguna domestik yang melebihi 1,500kWj pula kekal 10 sen/kWj.

Bagi kategori pengguna bukan domestik pula, surcaj kekal pada 3.70 sen/kWj bagi tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (H, H1 dan H2) selain operator air & pembetungan.

Pengguna bukan domestik lain surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj

"Berdasarkan keputusan ini, sejumlah 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

"Sehubungan itu, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan.

Suruhanjaya Tenaga berkata, berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada kategori-kategori pengguna yang terbabit bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaannya.

"Pengguna boleh merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan,: ujar kenyataan itu lagi.

Pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang https://myelectricitybill.my/. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram