SEORANG mayat lelaki ditemukan rentung dalam insiden kebakaran sebuah kereta dekat Batu 23 Jalan Pahang, Tapah, Perak pada Isnin malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang berada dalam kereta jenis Proton Saga itu ditemukan rentung di bahagian tempat duduk belakang.
Baca lagi: Kaki kiri hilang, pemuda Orang Asli maut dibaham harimau ketika menyumpit di Gua Musang
Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 10.04 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi mendapati, kereta itu musnah terbakar 50 peratus dan terdapat seorang lelaki Orang Asli rentung di dalamnya.
"Semasa kebakaran itu, didapati kereta tersebut diparkir di lokasi kejadian dan mangsa berada di bahagian tempat duduk belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Baca lagi: Penerokaan tanah berleluasa sejak 3 bulan lalu, Orang Asli Gua Musang buat laporan polis
Sabarodzi berkata, kebakaran terlebih dahulu dipadam oleh orang awam sebelum bomba tiba.
"Ketua operasi mengambil maklumat serta membantu polis bagi mengeluarkan mangsa," katanya.
Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan dan operasi berkenaan dilaporkan tamat sekitar pukul 11.36 malam Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram