SETELAH lima tahun beraksi dalam Liga Super, penyerang kelahiran Colombia, Romel Morales menjadi bahan bualan hangat baru-baru ini setelah dipanggil untuk mewakili Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia.
Keputusan untuk memberinya status naturalisasi diberikan pujian memandangkan pemain terbabit masih muda di samping rekodnya yang cukup baik sepanjang mewarnai arena bola sepak tanah air.
Reputasinya dijangka akan terus meningkat sekiranya dia mampu memberikan persembahan terbaik dalam membantu pasukan negara mempamerkan aksi terbaik di Doha, Qatar pada Januari akan datang.
Namun, pada Ahad, Romel sekali lagi meletakkan namanya di dada akhbar apabila pemain berkenaan mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan semasanya, Kuala Lumpur (KL) City FC.
Perkhabaran tersebut dibuat menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya dengan dia sempat menyertakan ucapan penghargaan buat kelab Lembah Klang terbabit.

Romel menyertai skuad kebangsaan yang bakal bersaing dalam Piala Asia. — Facebook/FAM
"Selepas tiga tahun yang menakjubkan, tiba masa untuk saya mengatakan selamat tinggal. Saya mahu mengucapkan rasa teruja saya kepada semua pihak dalam pasukan hebat ini.
"Sejak hari pertama lagi, saya sudah berasakan bahawa saya adalah sebahagian daripada keluarga. Setiap perlawanan, setiap sesi latihan memberikan pengalaman sukar dilupakan buat saya," katanya.
Romel menyertai skuad Warga Kota pada awal musim 2021 setelah beraksi bersama Melaka United pada tahun sebelumnya dengan KL City FC ketika itu baru sahaja 'dinaikkan pangkat' ke Liga Super.
Sepanjang tiga musim bersama pasukan Lembah Klang berkenaan, penyerang berusia 26 tahun itu pernah meraih pelbagai momen manis, terutamanya ketika membantu mereka menjuarai Piala Malaysia 2021.
"Kini, saya mahu memulakan bab baharu dalam karier saya. Tetapi, saya mahu anda semua tahu bahawa saya akan mengingati anda semua. Terima kasih atas kenangan dan kerjasama dalam membantu menghadapi cabaran bersama-sama," katanya.
Baca Lagi: Kehadiran Romel Morales boleh bantu HM curi mata di Piala Asia — Zainal Abidin
Berdasarkan rekod, penyerang tinggi lampai itu menjaringkan 18 gol dalam 57 penampilan Liga Super buat skuad Warga Kota dalam tiga musimnya bersama kelab berkenaan.
Dia dilaporkan bakal menyertai jaguh bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim yang pastinya tidak mahu ketinggalan peluang mendapatkan penyerang berstatus naturalisasi itu.
Meskipun masih memiliki Bergson da Silva sebagai tumpuan utama jentera serangan, kebolehan Romel untuk beraksi dalam beberapa posisi lain mengaitkannya dengan skuad Harimau Selatan musim depan.
Tambahan pula, hantaran Romel itu turut diberikan 'like' oleh bekas penyerang juara Liga Super tersebut, Diogo Luis Santo yang baru-baru ini mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak.
Hal itu sekali gus menguatkan lagi khabar angin mengaitkan penyerang tersebut dengan JDT meskipun beberapa pemain lain juga sempat memberikan ucapan maju jaya buatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
