Tergendala lepas sejam dilancarkan, Rafizi perjelas gangguan telco sistem PADU


  • Primer
  • Selasa, 02 Jan 2024

PADU merupakan sistem yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu. — Bernama

PROSES kemaskini maklumat di Pangkalan Data Utama (PADU) mula menerima kritikan serta kecaman pengguna selepas ia mula diakses pada Selasa.

Warganet di laman media mula mempertikaikan portal laman sesawang tersebut susulan ia dikatakan mula tergendala sejam selepas dibuka kepada pengguna.

Isu kod kata kunci OTP yang mengambil masa terlalu lama untuk dikirim kepada pengguna mencetuskan beberapa dakwaan kecaman terhadap PADU.

Baca Lagi: PM Anwar lancar PADU, semak semula data apa nak kena isi elak tercicir subsidi

Mengulas lanjut hal itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil memperjelaskan isu berkenaan.

"Masalah OTP tidak diterima setakat ini didapati melibatkan pengguna talian Celcom, pengguna telco lain tidak ada masalah.

"Perkara ini sedang dikendalikan pasukan PADU dan MCMC," ciapnya di laman Twitter pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut memuat naik laman sesawang rasmi PADU yang boleh diakses iaitu http://www.padu.gov.my.

Terdahulu, PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian maklumat kerajaan dengan PADU, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram