PENGGUNAAN motosikal di lebuh raya perlu diteliti semula dengan mempertimbangkan keadaan semasa memandangkan kes kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Penganalisis automotif tempatan, Hazeri Samsuri berkata, ia susulan insiden kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, pada Rabu.
Dalam kemalangan tersebut, mangsa maut selepas terjatuh dari lebuh raya tersebut akibat mengelak sebuah motosikal ditunggang melawan arus di bahu jalan lebuh raya berkenaan.
"Mungkin sudah tiba masanya motosikal dah tak boleh naik highway (lebuh raya). Ada cadangan itu dan saya sokong ada kebenarannya.
"Cumanya mungkin kita boleh tengok data dahulu. Seperti yang sedia maklum penunggang motosikal adalah mangsa yang tertinggi dalam melibatkan kemalangan jalan raya.
"Tetapi perlu tahu juga sebab dan di mana mangsa meninggal," ciapnya melalui Twitter peribadinya.
Namun, bekas Ketua Pengarang TopGear Malaysia itu juga berpendapat cadangan itu bukanlah mudah untuk dilaksanakan.
Katanya, Malaysia mempunyai pengguna motosikal yang ramai dan memerlukan masa sekiranya ingin melaksanakan perkara tersebut.
"Motosikal ini pengguna dia ramai. Nak mengubah dasar, 'domino effect' dia besar. Kena hati-hati sebab ahli politik tak akan buy in (idea) ini secara membabi buta.
"Pakar-pakar punya alasan, suruh penunggang motosikal menggunakan pengangkutan awam seperti bas tetapi ia memerlukan masa yang lama.
"Seperti yang anda tahu, laluan bas kita juga tak lengkap ekoran daripada bandar kita lengkap sebab bandar kita tak praktikkan zoning system.
"Contoh, pengangkutan bas di rumah aku, sejam sekali pun mujur. Waktu kemuncak, langsung tak nampak," katanya.
Penganalisis automotif tempatan, Hazeri Samsuri. — Instagram/Hazeri
Hasil perkongsian Hazeri itu turut dipersetujui oleh beberapa pengguna warga maya yang lain.
"Aku secara jujur setuju dengan cadangan ini, kalau boleh haramkan pengguna motosikal guna lebuh raya. Kadang-kadang kita yang memandu terpaksa memberi laluan pada pengguna motosikal," kata @Aminah^Salleh.
"Kalau sistem pengangkutan awam di Malaysia mantap dan kos bulanannya lebih berbaloi, memang aku takkan naik motosikal dari awal lagi. Kos aku guna motosikal dengan pengangkutan awam untuk sebulan, memang jauh bezanya. Seminggu, aku cuma habis RM9 ke Rm10 untuk kos petrol," kata @sayasedangtweet pula.
Sementara itu, @putrakorn pula mempunyai pendapat yang berbeza.
"Rasanya boleh bagi masuk tetapi ada yang tidak ikut peraturan. Contoh seperti kemalangan di SUKE pada Rabu. Salah orang lain lawan arah dan pak cik itu pula meninggal dunia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram