TINDAKAN seorang individu menambah lampu kecemasan polis pada kenderaannya membawa padah apabila perkara tersebut dibongkarkan oleh warga maya baru-baru ini.
Melalui video yang dimuat naik di halaman Facebook DashCam Owners Malaysia pada Rabu memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier berwarna hitam itu menggunakan lampu kecemasan untuk memecut di laluan paling kanan.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan orang awam, Daus Riz berkata, kejadian itu berlaku di Pandamaran, Klang, Selangor dan dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam yang berada di tempat kejadian.
"Sejak bila polis pakai Toyota Harrier. Lokasi Pandamaran," tulisnya.
Berdasarkan maklumat data yang tertera pada dashcam tersebut, kejadian itu berlaku pada pukul 8.06 pagi Selasa dan keadaan jalan raya pada waktu itu juga agak lengang.
Melalui video berdurasi 30 saat itu, kelihatan Toyota Harrier itu berada di lorong laju dan menggunakan lampu kecemasan polis sehingga menyebabkan beberapa kenderaan memberi laluan kepadanya.
Namun begitu, tindakannya itu membawa padah selepas warga maya mula berkongsi beberapa gambar dan mula mendedahkan pemilik sebenar kenderaan tersebut.
Gambar pemilik kenderaan yang dikongsikan warga maya. — Facebook/Mohd Nizam Sidek
Melalui perkongsian Mohd Nizam Sidek mendakwa kenderaan tersebut bukanlah milik pihak berkuasa namun seorang ahli perniagaan.
Dia turut berkongsi gambar memaparkan pemilik kenderaan tersebut.
Seorang lagi pengguna Facebook, Azlan Syah turut menguatkan dakwaan Mohd Nizam.
"Kalau nak tahu pemilik dia merupakan seorang ahli perniagaan produk makanan tambahan," katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram