SEORANG lelaki maut ditembak dalam kejadian di premis aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 tengah hari Selasa, mangsa yang berusia 32 tahun maut akibat ditembak sekurang-kurangnya dua das.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang membuat laporan ke Balai Polis Sunway.
"Pengadu memberitahu terdapat lelaki ditembak di sebuah premis.
"Polis ke tempat kejadian dan mendapati lelaki terbabit terlantar dalam keadaan berdarah akibat kesan tembakan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki tiga lelaki masuk ke dalam premis dan dua daripadanya melepaskan tembakan ke arah mangsa.
"Forensik hadir ke tempat kejadian dan menemui dua kelongsong peluru, satu serpihan peluru, satu anak peluru, dua swab darah dan sepasang selipar di tempat kejadian.
"Siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah samun dan curi," katanya.
Wan Azlan berkata, pihaknya kini sedang menyiasat pembabitan mangsa dalam kumpulan kongsi gelap.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh," katanya.
Wan Azlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram