[VIDEO] Hajat jumpa ibu tidak kesampaian, pemandu maut dibawa arus deras banjir


  • Benua
  • Rabu, 14 Jun 2023

Tangkap layar kenderaan mangsa yang dibawa arus banjir di wilayah Veracruz, Nicaragua. — Agensi

TINDAKAN seorang pemandu pacuan empat roda yang dengan beraninya meredah laluan banjir membawa padah selepas kenderaan tersebut dihanyutkan arus deras ke dalam sungai.

Difahamkan kejadian itu berlaku di wilayah Veracruz, Nicaragua pada 29 May lalu dan video tersebut kembali tular di media sosial sejak Selasa.

Mangsa yang juga pemandu kenderaan Alberto Uriel Romero Martínez, 48, dilihat cuba menyeberang jalan tersebut walaupun beberapa kenderaan berhenti di tepi jalan raya untuk tidak meneruskan perjalanan.

Dalam video berdurasi seminit 54 saat itu juga memaparkan, kenderaan itu pada awalnya tersangkut dibawah palang jambatan sebelum terjerumus ke bawah sungai yang mengalir deras akibat banjir.

Mangsa yang terperangkap juga dilihat cuba keluar melalui tingkap kenderaanya namun arus terlalu deras menyebabkan Alberto bergelut untuk mengeluarkan diri pada mulanya.

Cubaan mangsa untuk mengeluarkan diri hanya berjaya selepas kenderaan itu hanyut ke dalam sungai.

Namun begitu, mangsa disahkan maut selepas ditemui pihak berkuasa beberapa kilometer daripada tempat kejadian.

Memetik laporan media antarabangsa, Noticias Caracol Tv, difahamkan mangsa pada waktu kejadian dalam perjalanan melawat ibu di wilayah tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram