PADAH beberapa kali mencuri telefon pintar di sekitar Kulai dan Skudai, Johor, seorang lelaki akhirnya ditahan polis pada Ahad.
Difahamkan, suspek berbadan sasa itu menggunakan pelbagai taktik sebelum melarikan iPhone terpakai dari beberapa premis di daerah tersebut.
Melalui perkongsian seorang individu di Twitter, @jllmisai, lelaki berkenaan aktif melakukan jenayah tersebut di sekitar Kulai.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Taman Sutera Utama di Skudai pukul 2 petang Jumaat sebelum merampas telefon bimbit tiruan jenama iPhone Pro Max.
Menurutnya, semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah berkaitan, dipercayai turut terbabit mencuri iPhone 14 Pro Max berharga RM7,350 dari sebuah kedai di pusat beli-belah di Bandar Indahpura, Kulai, pada pukul 5.30 petang, 9 Jun lalu.
"Dalam kes itu, pengadu mendakwa suspek ke kedai telefon bimbit. Dia kemudian mendakwa membayar RM6,850 secara dalam talian dan menunjukkan resit pembayaran transaksi itu yang kemudian didapati palsu.
"Pengadu bagaimanapun mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek ketika urusan jual beli itu sebelum membuat laporan polis selepas mendapati tiada transaksi bayaran diterima dalam akaun milik syarikat," katanya.
Yusof berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram