SEORANG lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan di Jalan Pulau Indah menghala ke Jambatan Muhibbah, Klang, Selangor pada Selasa.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya melalui aplikasi Telegram Info Semasa Official, difahamkan kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan treler di jalan raya tersebut.
Video kemalangan itu turut dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam di lokasi kejadian.
Menerusi video berdurasi 31 saat berkenaan, kelihatan penunggang motosikal itu menunggang dengan laju dan cuba memotong dua buah treler di hadapannya dengan cuba menyelit di antara kenderaan tersebut.
Namun begitu, mangsa didakwa hilang kawalan menyebabkan dia terjatuh dan terseret beberapa meter.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram