HASRAT Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk mengumpul tiga mata penuh ketika perlawanan menentang Perak FC lebur selepas kedua-dua pasukan terikat selepas 1-1 pada Rabu.
Pada aksi kesembilan Liga Super Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak itu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan mengumpul satu mata, sekali gus tidak mengubah kedudukan dalam carta.
Skuad Jang kini berada di tangga kesembilan dengan 10 mata manakala Sang Seladang berada di tangga kesebelas selepas hanya mengumpul enam mata carta Liga Super.
Walaupun ia dianggap sebagai peningkatan yang baik buat skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim (LTK), namun hal sebaliknya pula dirasakan buat pasukan pelawat.
Ini kerana penyokong berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada pemain pertahanan pasukan kesayangan mereka itu, Che Rashid Che Halim yang dianggap tidak mempamerkan prestasi yang terbaik.
Pada perlawanan tersebut, pemain pertahanan berusia 28 tahun itu kelihatan tidak fokus dan kurang menyerlah sehingga memberi kelebihan pada pihak lawan membolosi benteng perlawanan terakhir pasukan kesayangan mereka pada awal minit permainan.
Che Rashid (kanan) dan Che Suhairi pernah bermain dengan skuad gergasi Harimau Selatan. — Facebook/MFL
Sehubungan itu, seorang penyokong Negeri Sembilan FC, Siti Salwa mendedahkan punca pemain berketinggian 170 sentimeter itu kelihatan tidak bersungguh-sunguh di atas padang.
"Patutlah Che Rashid main longlai malam tadi (Rabu), rupa-rupanya adik dia dalam pasukan Perak FC. Crossing pun menyimpang," tulisnya.
Luahan Siti Salwa itu turut mengundang beberapa komen sinis yang dilemparkan kepada pemain tersebut.
Muhammad Arif berkata, kedua-dua adik-beradik itu mempunyai gaya yang sama.
"Style lipat seluar sama," tulisnya.
"Mesti banyak rahsia adik dia simpan," kata Naenz Barhanuddin pula.
Amat Popo turut menulis komen yang sinis.
"Patutlah seri. Rupanya adik beradik," katanya.
Untuk rekod, Che Rashid merupakan abang kepada pemain The Bos Gaurus (TBG), Che Suhairi Che Halim yang turut bermain dalam posisi pertahanan.
Kedua-dua adik beradik ini juga pernah bermain dengan skuad gergasi Johor Darul Takzim (JDT).
Perlawanan menentang Negeri Sembilan FC itu juga merupakan penampilan pertama Che Suhairi untuk musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram