KEKALAHAN Kedah Darul Aman FC (KDAFC) pada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Selasa sememangnya perit untuk diterima penyokong fanatik pasukan tersebut.
Manakan tidak, skuad Sang Kenari sekali lagi tumbang di laman sendiri apabila tewas 2-3 kepada skuad Warga Kota pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Lebih menghampakan lagi, ia adalah kekalahan ketiga anak buah Nafuzi Zain di laman keramat mereka selepas tewas kepada Penang FC dalam saingan Piala FA dan PDRM FC dalam aksi liga sebelum ini.
Tewas kepada KL City turut menguburkan impian skuad Hijau Kuning untuk bangkit mendapatkan tiga mata berharga di laman sendiri selepas tewas besar kepada Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini.
Bekas jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah melihat situasi tersebut berpunca daripada duri dalam daging pasukan itu sendiri terutamanya dalam pengambilan pemain import yang tidak berkualiti.
"Berbicara tentang pemain import ini sebenarnya pihak pengurusan sekurang-kurangnya mempunyai networking (rangkaian) dengan ejen pemain luar negara.
Bekas jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah
"Apa yang berlaku di Liga Malaysia, kebanyakan ejen tempatan menilai pemain dalam internet yang mana ada laman web yang menawarkan pemain yang tidak mempunyai pasukan (free agent).
"Misal kata macam pemain import dari Brazil, Willian Lira yang mungkin tengok data-data berkaitannya dari laman web. Kemudian, ejen tu pun berkomunikasi dengan Lira tanpa menilai prestasi dia yang sebenar.
"Kebetulan, ejen pula berkawan baik dengan pemain tempatan dan pihak pengurusan yang dikatakan hanya mementingkan komisen daripada prestasi," katanya.
Mengulas lanjut, Azraai memberikan contoh dalam kes Lira yang mana dapat dilihat daripada data pemain itu, dia selalu dipinjam keluar ke kelab lain sekali gus memberi indikasi bahawa prestasinya kurang mantap.
"Kalau tengok di kelab, separuh jalan dia dipinjam keluar yang menunjukkan dia non-performing player. Dalam sejarah Lira, ada dua, tiga kali dia dipinjamkan.
"Kalau tengok pattern dan video pun tiada yang menunjukkan skil dia (Lira) bermain dengan baik. Scoring record dia sebagai penyerang pun tak cantik, kalau saya jadi jurulatih, awal-awal lagi saya dah tapis.
Willian Lira menjadi bualan penyokong Sang Kenari kerana prestasinya yang tidak begitu memberangsangkan. — Facebook/KDAFC
"Tambahan lagi Lira tidak cergas kerana beberapa bulan tidak beraksi. Itu sebabnya saya katakan penting adanya networking," katanya.
Menurut Azraai lagi, daripada pemerhatian berdasarkan enam permainan, dapat lihat peledak Sri Pahang FC, Kpah Sherman, yang pernah beraksi dengan KDA FC sebelum ini lagi mantap daripada Lira.
"Kpah bila dapat bola, dia set, dia beri bola kepada flanker sebelum lari ke dalam box dengan harapan flanker pass balik bola kepada dia untuk buat jaringan.
"Ni dalam kes Lira, banyak kali Fayadh Zulkifli bawa bola tapi nak bagi siapa di tengah? Hujung-hujung hilang bola...lepas tu dengan Fayadh sekali kena marah dengan penyokong," katanya.
Dalam pada itu, kelab penyokong Sang Kenari melalui halaman Facebook Penyokong Setia Hijau Kuning meluahkan rasa kecewa melihat prestasi yang ditunjukkan pemain.
"Pemain perlu mempunyai jiwa seperti pemilik kelab," tulisnya.
Penyokong kecewa dengan prestasi yang dipamerkan oleh para pemain Sang Kenari. — Facebook/KDAFC
Penyokong meluahkan perasan tersebut kerana terharu melihat kesungguhan pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang cuba menentukan hala tuju kelab bola sepak itu ke peringkat yang lebih tinggi musim ini.
Luahan tersebut turut disokong oleh Muhammad Husni yang berasa kasihan melihat kesungguhan pemilik kelab kesayangannya itu
"Kesian pada Tan Sri sanggup turun stadium demi negeri tercinta," tulisnya.
Muak dengan prestasi pemain, Yahya Din meninggalkan komen sinis buat pasukan tersebut.
"Pemain pasukan Kedah kebanyakannya lembik baik import atau tempatan, sama saja. Kalau macam ini pasukan bola sepak Kedah tak ke mana," katanya.
Pada ketika ini, Sang Kenari menduduki tangga keempat carta Liga Super dengan mengumpul 16 mata selepas sembilan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram