PERTENGKARAN antara jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim (LTK) dengan pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi ketika aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Selasa lalu masih hangat diperkatakan peminat bola sepak tanah air.
Tindakan provokasi jurulatih berusia 59 tahun itu membaling bola ke arah Arif Aiman menimbulkan rasa tidak puas hati tonggak Harimau Malaya terbabit kerana balingan itu didakwa cukup kasar dan hampir mengenai kepalanya.
Insiden tersebut berlaku pada minit ke-74 ketika JDT mendahului dengan keputusan 4-0.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, ia berlaku sebaik bola terkeluar daripada garisan tepi padang.
Tangkap layar video insiden perbalahan Teong Kim bersama Arif Aiman.
Kedua-duanya dilihat bergaduh mulut selepas itu dan situasi menjadi lebih tegang apabila penyerang import skuad Harimau Selatan, Bergson Da Silva turut masuk campur sekali gus menyebabkan pertengkaran dilanjutkan sehingga Teong Kim dilayangkan kad kuning oleh pengadil.
Di atas padang, mungkin tindakan Teong Kim dari segi undang-undang bola sepak nampak salah, namun jika melihat dari konteks luar padang, ada perspektif berbeza dari sudut pandang penyokong.
Walaupun rata-rata penyokong mengecam tindakan bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dikatakan memulakan provokasi, seorang penyokong, Raz Rahim berpendapat Arif Aiman sepatutnya tidak mudah melatah dan bersikap profesional.
"Siapa yang sedar dan ikuti perkembangan Arif Aiman tidak dinafikan pemain muda ini sedang meningkat naik tapi dia juga sedang memasuki fasa 'ujian' juga.
Penyokong mendakwa Teong Kim tidak dapat mengawal emosinya selepas Perak FC kalah kepada JDT. — Facebook/ PerakFC
"Sudah banyak perlawanan dan sikap Arif Aiman seolah-olah berubah dan semalam (Selasa) paling ketara apabila dia juga terlibat dalam situasi orang lain yang tidak melibatkan dia.
"Sedar atau tidak atau tanpa sedar LTK sedang menguji kamu (Arif Aiman) dengan tekanan 'mudah' dan jika dilihat balingan bola yang pada hemat sesetengah pihak biasa sahaja dan tidak ada apa-apa yang merumitkan.
"Tetapi kamu (Arif Aiman) memilih jalan yang sama naik (provokasi). Lihatlah sekarang, satu kelompok marah LTK dan tak selesa dengan perubahan kamu," tulisnya.
Arif Aiman cemerlang bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JohorSouthernTigers
Nasihat Raz Rahim lagi, Arif Aiman seharusnya menghormati Teong Kim yang pernah menabur jasa menjadi 'pendidik' kepadanya ketika kedua-duanya pernah bersama ketika berada dalam Program NFDP.
"Siapa yang mengajar kamu mengenal apa itu posisi 2,3,7,11 dan peranannya? Apa itu etika kerja, kerja keras dan lain-lain taktikal?
"Waktu di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kamu hanya masalah fizikal sahaja. Ketika umur begitu kamu (Arif Aiman) yang paling kerap menjadi terjahan dan kekerasan oleh teman-teman kamu dan lawan.
"Kamu (Arif Aiman) memilih keluar AMD bukan dibuang. Bak kata LTK selalu, apa saya boleh buat, kamu yang pilih dan saya hormati pilihan kamu.
"Semua ada hak tentukan jalan hidup. Rezeki kamu ditentukan di JDT dan aturan hidup kamu disusun begitu, inilah rezeki.
Arif Aiman pernah dibimbing oleh Teong Kim ketika berada di AMD. — Agensi
"Segala ilmu mengenai sikap etika kerja, berusaha dan positif yang diajar pada kamu di AMD itulah kunci kamu menjadi lebih baik dari pemain-pemain lain waktu di Akademi JDT.
"Kalau kamu tak ada sikap itu, mungkin agak sukar. Hasilnya bila masuk JDT itu, kamu jauh lebih matang permainan dan mentaliti dari pemain-pemain lain ketika di Akademi JDT," katanya.
Untuk rekod, Arif Aiman berada dalam AMD sehingga berumur 16 tahun namun gagal menembusi skuad utama yang dikendalikan Teong Kim.
Sepanjang di AMD, Teong Kim pernah membawa Arif Aiman ketika Kejohanan Bola Sepak Remaja Iber Cup Costa del Sol 2015 bersama tiga lagi penyerang ke Sepanyol, antaranya Luqman Hakim Shamsudin yang kini sedang berkelana di luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram