PEMAIN import dari Filipina, Carli de Murga bukanlah nama yang asing buat penyokong bola sepak kerana pemain berusia 34 tahun ini mula memasuki industri bola sepak tanah air bersama pasukan Terengganu FC pada tahun 2020.
Berkelana hampir tiga tahun di Malaysia, pemain berketinggian 180 sentimeter sudah menandatangani tiga kontrak dengan tiga kelab yang berlainan.
Pemain yang lebih dikenali sebagai De Murga itu juga pernah bermain dengan skuad gergasi Johor Darul Takzim (JDT) pada 2022.
De Murga sempat beraksi sebanyak 12 penampilan secara keseluruhan dalam saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC serta mencetak satu gol sepanjang menyertai JDT.
Dia kemudiannya kembali semula ke pantai timur Semenanjung tanah air dengan menyertai Kelantan FC selepas semusim bersama skuad Harimau Selatan.
De Murga pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan selama semusim. — Facebook/JohorSouthernTigers
Bagaimanapun, jodoh pemain kacukan Sepanyol-Filipina bersama skuad The Red Warriors (TRW) tidak panjang dan dia hanya sempat bermain dengan skuad kendalian Choi Moon-sik (sebelum Frank Bernhardt mengambil alih) selama hanya tiga bulan sahaja.
Pada Isnin, Kelantan FC menamatkan kontrak dua pemain import serta seorang pemain tempatannya lebih awal hasil persetujuan dicapai bersama.
Kelantan FC dalam satu kenyataan memaklumkan tiga yang ditamatkan kontrak ialah Cristian Rontini, Shafiq Shaharudin dan De Murga.
Walaupun perkhabaran itu dianggap satu kehilangan besar buat penyokong pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham namun ada dalam kalangan penyokong meluahkan rasa lega kerana pemain import itu tidaklah sehebat seperti yang mereka sangkakan sebelum ini.
Selain itu, De Murga menjadi bualan peminat Kelantan FC apabila dia tidak diturunkan pada aksi Liga Super 2023 menentang JDT pada bulan Mac lalu.
Malah, pemain itu sekali lagi menjadi buah mulut penyokong apabila tidak diturunkan pada perlawanan Piala FA 2023 yang mana TRW Kelantan turun menentang Manjung City yang menyaksikan Kelantan FC mencatat kemenangan 3-0 pada Jumaat lalu.
De Murga menjadi bualan peminat Kelantan FC apabila dia tidak diturunkan pada aksi Liga Super 2023 menentang JDT pada bulan Mac lalu. — Facebook/TRW
Penamatan kontrak bek tengah bersama skuad TRW itu bukan sahaja diraikan oleh penyokong Kelantan FC sendiri tetapi turut disambut gembira oleh penyokong skuad Sang Penyu.
Seorang pengguna media soasial, Wan Hasbullah berharap agar kelab-kelab bola sepak yang lain tidak akan mengambil De Murga pada masa akan datang.
"Elok tak payah ambil dia (De Murga) ini, dulu dia buat hal dengan Terengganu lari pergi JDT. Ini Kelantan pula kena. Tahniah TRW lepaskan pemain ini, bukannya hebat sangat pun atas padang," katanya.
Mohd Razmir Mohamad Rani pula berpendapat De Murga adalah seorang penipu dan bukannya pemain bola sepak.
"Terengganu FC sudah kena scam dengan De Murga, sekarang Kelantan pula," tulisnya.
Wan Helmi pula berasakan De Murga sebenarnya melepaskan peluang ketika dia bersama skuad Sang Penyu dahulu.
"Elok-elok duduk Terengganu buat injured nak masuk JDT, sekarang dah kena lelong," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan De Murga dikhabarkan membuat keputusan untuk meninggalkan TRW untuk untuk menyertai salah satu kelab yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram