PRESTASI cemerlang pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Feroz Baharudin semakin mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air pada ketika ini.
Selain memiliki rupa yang kacak dan tampan, pemain pertahanan skuad Harimau Selatan itu juga mampu 'memikat' minat penyokong dengan aksinya yang semakin matang pada musim ini.
Pada masa sama, aksi ditunjukkan Feroz menjadi salah satu kunci utama kepada kestabilan di bahagian pertahanan skuad kendalian Esteban Solari itu.
Feroz cemerlang bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/ JohorSouthernTigers
Ia terbukti apabila pemain berketinggian 1.75 meter itu diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan dalam enam perlawanan aksi Liga Super setakat ini, sekali gus menyaksikan populariti pemain kelahiran Kota Tinggi, Johor itu meningkat setaraf Arif Aiman Hanapi.
Melihat kepada aksinya ketika JDT menentang pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) pada Ahad, ada dalam kalangan penyokong menjangkakan pemain berusia 23 tahun itu mampu menjadi antara tulang belakang pasukan JDT pada masa depan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu, Feroz berjaya mencetak satu jaringan gol sekali gus membantu JDT membawa pulang tiga mata penuh.
Feroz berjaya mencetak satu jaringan gol sekali gus membantu JDT membawa pulang tiga mata penuh pada perlawanan Harimau Selatan menentang skuad Sang Kenari pada Ahad.
Sehubungan itu, seorang penyokong, Sakuragi Hanamichi berasakan pemain berusia 24 tahun itu dianggap jelmaan bekas pemain pertahanan Barcelona, Gerard Piqué.
"Dia (Feroz) ini jelmaan 'Piqué Barca'," tulisnya.
Pendapat Sakuragi itu turut dipersetujui seorang lagi peminat setia bola sepak tanah air, Mohd Hanis yang cukup berminat dengan graduan akademi JDT itu.
"Sama, fans Barcelona FC juga," katanya.
Bekas pemain pertahanan Barcelona, Gerard Piqué. — Agensi
Untuk rekod, Piqué merupakan pemain pertahanan Barcelona sejak 2008 dengan pertahanan berusia 35 tahun itu berjaya meraih tiga gelaran Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama kelab Sepanyol tersebut sebelum bersara.
Selain itu, dia turut berjaya menjulang trofi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 dengan negaranya sebelum mengumumkan untuk bersara tahun lalu.
Piqué juga merupakan antara pemain pertahanan yang digeruni sepanjang karier kerana prestasi dan ketangkasannya ketika berada di atas padang.
Sementara itu, ada juga dalam kalangan penyokong, Hanafiah Kahmis memuji kelab JDT dalam menghasilkan pemain yang berbakat.
"Seorang lagi pemain muda yang digilap oleh JDT," tulisnya.
Sementara itu, Afiq Raz memberikan kata semangat dan pujian untuk Feroz.
"Tahniah Feroz, prestasi semakin meningkat. Aku sokong kau dan aku yakin kau akan setanding pemain dunia yang lain selepas ini di bawah JDT," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram