KEKALAHAN Sabah FC dalam dua perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Super pada musim ini sememangnya sesuatu yang tidak dijangka oleh penyokong bola sepak tanah air.
Manakan tidak, skuad Sang Badak yang pernah berada dalam tangga kedua pada carta awal musim itu kini hanya mampu berada di tangga kelima dengan berkongsi mata bersama Sri Pahang FC iaitu 13 mata selepas tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC.
Lebih mengecewakan lagi, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (DOKS) itu dilihat hilang arah dan tidak fokus ketika berada di atas padang.
Perkara itu terbukti pada perlawanan skuad Sang Badak menentang skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 31 Mac lalu yang mana pasukan skuad Harimau Selatan dengan mudah merobekkan gawang Sabah FC dengan jaringan gol 4-0.
Lebih menambah luka di hati penyokong, kekalahan tersebut berlanjutan hingga ke Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) apabila pasukan skuad Warga Kota berjaya menewaskan pasukan Borneo itu pada Rabu lalu.
Melihat kepada kekalahan yang berterusan, penyokong fanatik Sabah berharap agar pihak kejurulatihan perlu mengambil langkah drastik dan menurunkan pemain yang berpengalaman dalam kesebelasan utamanya agar dapat merampas kembali kedudukan teratas dalam carta liga pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Isnin ini.
Setakat ini, Baddrol hanya merekodkan 47 minit permainan sepanjang membuat empat penampilan daripada enam perlawanan. — Facebook/SabahFC
Antara nama pemain yang disebut-sebut oleh penyokong untuk menguatkan jentera skuad Sang Badak pada perlawanan skuad Jang nanti ialah tonggak tengah pasukan tersebut, Baddrol Bakhtiar.
Penyokong percaya Baddrol yang pernah diberi jolokan nama Captain Marvel mampu menjadi senjata utama menentang skuad Jang nanti.
Melihat kepada prestasinya pada musim lalu, bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDAFC) ini cukup cemerlang bersama skuad Sang Badak pada musim lalu.
Walaupun dianggap 'kuda tua' bagi sesetengah pihak, pemain berusia 35 tahun ini menyumbang enam gol dan empat bantuan gol menerusi 20 penampilan sepanjang beraksi dalam Liga Super 2022.
Selain itu, Baddrol yang juga dikenali sebagi BB7 dalam kalangan peminat juga merupakan salah seorang pemain bola sepak yang digeruni pasukan lain kerana ketangkasan dan prestasinya ketika berada di atas padang.
Baddrol merupakan salah seorang pemain bola sepak yang digeruni pasukan lain kerana ketangkasan dan prestasinya ketika berada di atas padang. — Facebook/SabahFC
Sehubungan itu, seorang penyokong Alee Fir berharap agar pemain senior Sabah FC itu diberikan peluang untuk menjadi kesebelasan utama dan sekali gus dapat kembali mengkucar-kacirkan permainan pihak lawan di Stadium Paroi, Seremban pada Isnin ini.
"Beri peluang Baddrol untuk bermain Datuk Ong Kim Swee, jangan disimpan lama-lama. Bagi Baddrol main untuk separuh masa pertama pun jadi kerana dia antara penjaring yang kreatif. Dengar-dengarlah luahan fans ini DOKS," katanya.
Rahmad Mat Otai juga turut bersetuju dengan pendapat Alee Fir itu.
"Bagi ruang BB7 untuk beraksi," katanya.
Seorang lagi penyokong, Faizalidris Faizal mahu Baddrol diturunkan sebagai kesebelasan utama pada perlawanan Isnin ini.
"Saya setuju kalau Baddrol diturunkan sebagai pemain, jangan disimpan pemain terbaik. Harap DOKS mendengar pandangan dan cadangan kami. Kami hairan, lawan KL City pun kalah, buat malu Sang Badak sahaja," luahnya.
Setakat ini, Baddrol hanya merekodkan 47 minit permainan sepanjang membuat empat penampilan daripada enam perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram