Gara-gara Safawi Rasid, Sri Pahang tak pasal-pasal kena troll jadi 'feeder club' JDT


  • Podium
  • Rabu, 12 Apr 2023

Safawi sudah beraksi dalam 11 perlawanan Liga Thailand bersama Ratchaburi FC. — Instagram/Safawi

KHABAR angin pemain sensasi kebangsaan, Safawi Rasid bakal meninggalkan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC dalam masa terdekat semakin hangat menjadi bualan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Walaupun pemain berusia 26 tahun itu dilihat sudah kembali kepada prestasi terbaiknya dan banyak mempamerkan aksi cukup cemerlang sejak menyertai Ratchaburi, namun Safawi dikaitkan dengan perpindahan semula ke Liga Malaysia ketika ini.

Perkhabaran itu dikongsikan satu sumber terdekat kepada sebuah portal bola sepak yang mendedahkan bahawa pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu dikatakan akan pulang ke tanah air pada jendela perpindahan kedua bulan Jun ini.

Difahamkan Safawi berkemungkinan besar akan berhijrah ke Kuantan, Pahang bagi memperkuatkan Sri Pahang FC.

Sekiranya khabar angin itu terjadi, ia mungkin dapat memperkuatkan skuad Tok gajah yang ketika ini beraksi dalam saingan Liga Super.

1

Safawi menjaringkan gol sulungnya bersama skuad The Dragons ketika aksi Liga 1 Thailand pada Mac lalu. — Instagram/Safawi

Ketika ini, pasukan kendalian Fandi Ahmad itu berada di tangga ketiga carta Liga Super sepanjang lapan permainan dengan berkongsi 16 mata bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC).

Khabar angin perpindahan pemain berketinggian 1.73 meter itu turut mendapat pelbagai reaksi penyokong Tok Gajah.

Salah seorang penyokong, Mohd Izarul berkata, sekiranya Safawi menyertai pasukan kesayangannya, Sri Pahang FC tidak ubah menjadi sebuah 'kelab simpanan' kepada Johor Darul Takzim (JDT).

"'Sri Tidur Petang' (Sri Pahang FC) sudah menjadi pusat pembaikan prestasi @ feeder club pasukan selatan," tulisnya.

Jika melihat kembali kepada pemain Sri Pahang yang sedia ada sekarang, skuad Harimau Selatan sudah pun meminjamkan tiga pemainnya ke skuad Tok Gajah.

izham

Izham Tarmizi merupakan salah seorang pemain JDT yang dipinjamkan kepada Sri Pahang untuk musim ini. —Facebook/SriPahangFC

Ketiga-tiga pemain JDT yang dipinjamkan kepada Sri Pahang untuk musim ini ialah Izham Tarmizi Roslan, Azrif Nasrulhaq serta Syazwan Andik Ishak.

Manakala, pertahanan Sri Pahang FC, Fadhli Shas menyertai mereka bertiga musim ini secara kontrak selama dua tahun selepas lapan musim bersama JDT.

Jika melihat kepada situasi tersebut, tidak mustahil untuk Sri Pahang FC mendapatkan khidmat Safawi sebagai pemain tetap mereka untuk pusingan kedua Liga Super musim ini.

Untuk rekod, Safawi menyertai kelab Ratchaburi FC secara pinjaman daripada JDT selama semusim bagi mengisi kuota pemain import Asean pasukan tersebut pada penghujung musim lalu.

Dia memilih untuk berkelana di negara jiran untuk mendapatkan minit permainan selain membantu memperoleh pengalaman baharu di suasana berbeza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram