Akhyar Rashid sudah terbukti, Syafiq Ahmad pula dicabar dapatkan minit permainan untuk menjadi seperti Arif Aiman


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Arif sebagai antara 11 nama pemain muda bernilai setiap negara Asean. — Facebook/JohorSouthernTigers

PERJALANAN karier Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad sebagai pemain bola sepak profesional tanah air sememangnya diikuti rapat penyokong tanah air, terutamanya peminat Sang Kenari.

Hal ini kerana, kedua-dua pemain tersebut pernah menyumbang bakti pada pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC selain merupakan produk daripada akademi kelab itu.

Namun jika melihat kepada situasi terkini, Akhyar Rashid lebih menyerlah berbanding Syafiq Ahmad walaupun kedua-duanya sering memanaskan bangku simpanan Johor Darul Takzim (JDT).

Ini kerana Akhyar Rashid yang juga pemain sayap negara menjaringkan dua gol dalam dua kemenangan penting bagi skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Mac.

Pemain berusia 24 tahun itu mencetak nama sebagai salah seorang penjaring selain Faisal Halim untuk membantu skuad negara merakam kemenangan 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Kelas 1 menentang Hong Kong pada Selasa.

Bekas pemain Kedah berkenaan sebelum itu muncul wira pasukan negara yang menewaskan Turkmenistan 1-0 selepas meledak gol kemenangan di tempat sama pada Khamis lepas.

Syafiq sekadar meraih kira-kira 10 minit masa permainan setakat ini. — Facebook/JohorSouthernTigers

Syafiq sekadar meraih kira-kira 10 minit masa permainan setakat ini. — Facebook/JohorSouthernTigers

Melihat kepada jaringannya itu, ramai penyokong kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Akhyar Rashid walaupun kurang mendapat minit permainan bersama JDT.

Bercerita mengenai Syafiq Ahmad pula, nasib seperti tidak menyebelahi pemain berusia 27 tahun itu kerana prestasinya yang kurang memberangsangkan bersama kelab dan juga pasukan kebangsaan.

Jika melihat kepada statistik yang dikeluarkan di laman web Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Syafiq hanya memperoleh 10 minit masa permainan dalam tiga perlawanan dengan lebih banyak memanaskan bangku simpanan musim ini.

Musim lepas pula, Syafiq hanya mengumpul 291 minit masa permainan dalam aksi di saingan Liga Super dengan hampir kesemua daripadanya sebagai pemain simpanan.

Namun begitu, dia boleh dikatakan seorang pemain yang bertuah kerana dipanggil ke kem latihan berpusat skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon bersama Akhyar Rashid.

Rekod Syafiq bagaimanapun tidaklah begitu buruk seperti yang dibayangkan kerana dia pernah menjadi antara penyerang terbaik negara apabila pernah menjaringkan enam gol dalam kesemua kejohanan musim lalu.

Detik-detik jaringan Akhyar Rashiddalam perlawanan Malaysia menentang Turkmenistan. — Facebook/FAM

Detik-detik jaringan Akhyar Rashiddalam perlawanan Malaysia menentang Turkmenistan. — Facebook/FAM

Kedua-dua pemain ini dilihat semakin 'tenggelam' kerana jarang diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.

Sehubungan itu, seorang penyokong bola sepak tanah air, Jan Fadzli berpendapat kedua-dua mereka mempunyai potensi untuk menyaingi bintang JDT, Arif Aiman Hanapi sekiranya mendapat minit permainan dengan lebih kerap dalam Liga Malaysia.

"Rasa ralat sangat apabila Akhyar Rashid serta Syafiq Ahmad jarang mendapat minit dalam Liga Malaysia. Saya yakin Mat Yat (Akhyar) dan Syafiq mampu menyaingi kelibat Arif Aiman atau mampu beri impak sebaik Arif Aiman atau Faisal Halim.

"Mereka berdua mampu pergi lebih jauh lagi kerana ada passion yang bagus biar jarang diturunkan, kreativiti mereka tetap menonjol setiap kali diperlukan," tulisnya.

Tambah Jan Fadzli lagi, adalah satu kerugian besar bagi penyokong yang tidak dapat menyaksikan aksi kedua-dua pemain tersebut dalam Liga Malaysia.

"Ini merupakan pendapat peribadi saya yang ingin melihat kedua-dua pemain ini menjadi star dalam liga domestik dan antarabangsa.

"Namun, yang positif perlu diakui kerana skuad JDT mempunyai sistem yang baik kerana fitness (tahap kecergasan) mana-mana pemain JDT berada dalam keadaan bersedia bermain lebih dari 90 minit.

"Kita harus akui, semoga Liga Malaysia selepas ini kita bakal melihat kedua-dua bekas pemain Kedah ini mewarnai Liga Malaysia dan bersaing dengan pemain-pemain import atau nutralisasi khususnya," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram