JDT tiada masalah benam Sang Badak biarpun ketiadaan bintang utama


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Fernando Forestieri antara tonggak JDT yang dijangka bakal mengucar-ngacirkan corak permainan Sabah FC malam ini. — Facebook/JohorSouthernTigers

BERBAKI beberapa jam lagi, pertembungan di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor pastinya menjadi tumpuan utama penyokong bola sepak tanah air pada Jumaat.

Masakan tidak, kedua-dua kelab ini boleh dianggap sebagai pasukan gergasi yang sukar ditewaskan oleh pasukan lain.

Pada masa sama, perlawanan itu akan menentukan siapa bakal menjadi pendahulu Liga Super selepas JDT dan Sabah hanya dibezakan dengan dua mata.

Skuad Sang Badak berada di kedudukan kedua dengan mengutip 13 mata, hanya dua mata dipisahkan di belakang pendahulu liga iaitu skuad Harimau Selatan.

Kedua-dua pasukan juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang lima aksi perlawanan musim ini.

Sehubungan itu, ketua jurulatih JDT, Estaban Solari pastinya akan menurunkan pemain terbaik dalam aksi perlawanan ini bagi memberi saingan kepada skuad Sang Badak.

338422453_884742419299083_7996969596072414057_n

Penyokong menjangkakan, ketua jurulatih JDT, Estaban Solari menurunkan pemain terbaik dalam aksi perlawanan menentang Sabah FC. — Facebook/JohorSouthernTigers

Tetapi, JDT mungkin kehilangan tiga tonggak utamanya iaitu Arif Aiman, Endrick Dos Santos dan Bergson Da Silva pada aksi tersebut ekoran daripada masalah kecederaan.

Namun begitu, bagi penyokong fanatik kelab bola sepak yang berpangkalan di selatan tanah air itu, kehilangan tiga tonggak utama ini bukanlah masalah besar bagi pasukan JDT

Hal ini kerana, bagi mereka JDT mempunyai barisan jentera serangan yang lain.

Seorang pengguna media sosial, Lemanz Lemanz berkata, tiada masalah sekiranya tiga tonggak utama itu tidak dapat diturunkan.

"Kita ada Fernando Forestieri, Diogo Santos dan Leandro Velazquez. JDT tetap bersedia.

"Kalah atau menang adalah adat permainan," katanya.

Puteri Dewi juga berasakan kelab kesayangannya itu tidak akan berdepan dengan masalah bertembung dengan JDT.

"Ramai lagi pemain hebat yang lain seperti Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid," tulisnya.

Mamarock Jb pula berkata, JDT tidak perlu gentar berhadapan dengan Sabah FC kerana mereka mempunyai barisan pemain yang berkualiti.

"Apa-apa pun, JDT masih ada pemain-pemain yang berkualiti dan sebaliknya Sabah yang perlu takut berdepan dengan skuad Harimau Selatan.

"JDT akan serang kubu skuad Sang Badak. Semoga JDT diberikan kemenangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram