Miliki keistimewaan tersendiri, 2 'afro' berpotensi jadi tonggak masa depan Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Skuad Harimau Malaya pada ketika ini memerlukan tonggak muda untuk terus konsisten cemerlang dalam bola sepak dunia. — Facebook/FAM

NAMA pemain Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar dan pemain Johor Darul Takzim II (JDT II), Najmudin Akmal semakin meniti di bibir para penyokong bola sepak tanah air musim ini.

Pada masa sama, kedua-duanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri ketika berada di atas padang.

Dengan penampilan gaya rambut unik, kedua-dua mereka turut memikat hati penyokong dengan ketangkasan dan kelicikan mengucar-ngacirkan pihak lawan ketika berada di atas padang.

Selain itu, pemain muda itu sudah mula mengorak langkah yang besar dalam bola sepak tanah air selepas didedahkan dengan minit permainan bersama skuad kebangsaan ketika ini.

Sharul Nazeem yang lebih dikenali sebagai 'Afro' dalam kalangan peminat bola sepak tempatan memulakan karier bola sepaknya seawal usia 17 tahun dengan menyertai pasukan Cheras dalam Liga Bola Sepak Rakyat.

1839222

Shahrul Nazeem Zulpakar. — Facebook/SelangorFC

Sejak itu, Afro terus meneruskan karier bola sepaknya pelbagai kelab di peringkat Liga Selangor dan Liga Kuala Lumpur sebelum dibawa masuk menyertai skuad Gergasi Merah pada 2020.

Melihat kepada prestasi dan kelincahannya di atas padang, anak jati kelahiran Gombak, Selangor itu dipilih untuk bermain bagi skuad bawah 23 tahun (B-23) negara beberapa kali sebelum ini.

Dia yang bermain untuk posisi pertahanan bagi Selangor FC pada ketika ini juga pernah bermain bersama pasukan senior Harimau Malaya ketika kejohanan Piala AFF 2022 awal tahun lalu.

Bercerita mengenai Najmudin pula, bakatnya mula dikesan seawal usia 15 tahun dengan dia merupakan graduan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).

Dia juga pernah mewakili negara dalam Kejuaraan AFC B-16 pada tahun 2018 yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Perak FC ketika ini, Datuk Lim Teong Kim.

Selain itu, Najmudin juga merupakan salah seorang tonggak utama skuad B-19 tahun negara kendalian Hassan Sazali Waras yang muncul juara saingan Piala AFF B-19 Tahun di Indonesia yang mana dia menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan itu berlangsung.

338417063_961996858514985_4606547344920797380_n

Najmuddin (kiri) berjaya meledakkan satu gol untuk membantu Malaysia menjadi juara pada perlawanan saingan Merlion Cup. — Facebook/FAM

Kejayaan Najmudin tidak terhenti di situ apabila pada perlawanan saingan Merlion Cup, skuad negara B-22 menentang Hong Kong pada Ahad lalu, pemain berusia 20 tahun ini berjaya meledakkan satu gol untuk membantu Malaysia menjadi juara.

Jika melihat kepada prestasi kedua-dua pemain muda ini, mereka boleh dianggap sebagai tonggak masa depan Harimau Malaya.

Najmudin merupakan penyerang masa depan yang perlu diberi perhatian ramai, ekoran ketajaman beliau yang bijak mencari ruang bagi mendapatkan gol buat negara.

Manakala Afro pula perlu digilap untuk menguatkan benteng pertahanan skuad negara sekali gus menjadi pelapis kepada pasukan senior. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram