[VIDEO] Fans bengang masalah komunikasi Moon-sik, pemain jadi duri dalam daging Kelantan FC


  • Podium
  • Ahad, 02 Apr 2023

Penyokong meluahkan rasa kecewa melihat komunikasi di antara pemain dan Moon- sik yang terpaksa menggunakan penterjemah. — Facebook/TRW

MASALAH komunikasi di antara pemain dan ketua jurulatih, Choi Moon-sik skuad The Red Warriors (TRW) masih membelenggu pasukan tersebut sehingga membolehkan pasukan lawan menggunakan kelemahan tersebut membenamkan Kelantan FC pada Sabtu.

Dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu, Kelantan FC yang bertandang ke tempat lawan, kalah 2-4 dengan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Walaupun kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu cuba untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua, namun usaha skuad TRW tidak berjaya, sekali gus menyebabkan mereka gagal mendapatkan keputusan yang diharapkan penyokong.

Lebih menyedihkan lagi, kelab yang dimiliki Norizam Tukiman itu kini jatuh di kedudukan ke-11 carta Liga Super selepas hanya mengumpul empat mata selepas enam perlawanan.

Melihat kepada prestasi semasa Kelantan FC itu, rata-rata penyokong fanatik skuad TRW mula menuding jari kepada Moon-sik yang didakwa punca utama kelab kesayangan mereka itu kalah.

Seorang penyokong, Muhd Hakem menerusi laman Facebook The Red Warriors Malaysia: Info Bolasepak Trw Kelantan Fc | Malaysia meluahkan rasa kesalnya melihat susunan strategi yang dibuat oleh jurulatih berasal dari Korea Selatan tersebut.

Muhd Hakem turut memuat naik video berdurasi kurang seminit yang memaparkan kapten TRW, Mario Arqués dilihat bertengkar dengan Moon-sik.

"Lihatlah betapa marahnya Mario terhadap coach (Moon-sik), kita yang melihat perlawanan pun sakit hati dengan taktikal coach apatah lagi yang separuh nyawa bermain atas padang.

"Game management daripada coach ini memang jahanam (teruk)," tulisnya.

Penyokong fanatik tersebut turut mempersoalkan cara ketua jurulatih TRW yang berusia 52 tahun itu mengatur serangan.

"Mari kita imbas 'kebijaksanaan' jurulatih ini sepanjang perlawanan menentang skuad Hobin Jang Hobin.

"Moon-Sik sanggup mengorbankan Man of The Match (Mario) selepas Cifu demi memberi peluang kepada Nuha Marong yang baru sahaja pulih daripada kecederaan dan tak function pun masa main dengan pasukan bawah 23 tahun (U-23)," tulisnya.

337149052_772071314088308_1771193208270206421_n

Ketua jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik. — Facebook/TRW

Muhd Hakem turut mengkritik beberapa strategi Moon-sik yang mengeluarkan beberapa pemain pada perlawanan itu.

"Masuk minit ke-80 baru buat pertukaran. Selepas itu kau (Moon-sik) masukkan Cifu tetapi mengeluarkan Mario.

"Kau (Moon-sik) jangka tiga penyerang akan dapat bola tanpa pemain tengah? Sedangkan Nuha yang entah buat apa atas padang dari separuh masa pertama dikekalkan sehingga habis permainan," katanya.

Penyokong itu juga turut meluahkan rasa kecewanya melihat komunikasi di antara pemain dan Moon- sik yang terpaksa menggunakan penterjemah.

"Coach nak berkomunikasi pun kena ada translator. Big respect kepada Mario, kita boleh lihat kesungguhannya sebagai kapten pasukan masa dia sound coach dia sendiri dan mungkin ini antara sebab dia dikeluarkan," katanya lagi.

Kelantan FC akan meneruskan saingan Liga Super dengan perlawanan ‘Derbi Pantai Timur’ menentang skuad Sang Penyu pada 4 April ini yang mana akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram