Bukan sahaja Azam Azih, 2 lagi wajah baharu Harimau Malaya dikritik ketika berdepan Hong Kong


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Azam (dua dari kanan) tampil dengan persembahan yang kurang meyakinkan ketika berdepan Hong Kong pada Selasa. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Malaya terus mencipta momen manis di peringkat antarabangsa selepas mencatatkan kemenangan ke atas Hong Kong dengan skor 2-0.

Aksi persahabatan antarabangsa yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa itu menyaksikan anak-anak buah Kim Pan-gon beraksi dengan cukup baik sepanjang 90 minit permainan.

Namun, apa yang sedikit mengecewakan penyokong bola sepak tempatan adalah mengenai persembahan kurang meyakinkan daripada ketiga-tiga pemain tengah pasukan.

Dalam pertembungan itu, Pan-gon memilih untuk melakukan sedikit 'eksperimen' dengan menurunkan Nor Azam Azih, Paulo Josue dan Nooa Laine.

337999999_746546280443896_5265963459661278158_n

Nama Paulo Josue (kiri) merupakan antara yang dipetik penyokong Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Pendekatan itu dilihat sedikit mengecewakan apabila kesemua mereka terlalu mudah mensia-siakan penguasaan bola dengan melakukan hantaran kurang tepat.

Kekecewaan tersebut diluahkan rata-rata penyokong Harimau Malaya di media sosial yang mengharapkan pihak kejurulatihan skuad kebangsaan tidak lagi melakukan keputusan sedemikian.

"Masa untuk melakukan perubahan, Azam main kurang baik dan Nooa juga sedikit mengecewakan. Hong Kong juga beraksi dengan lebih baik, mujur ada Corbin (Ong) dalam benteng pertahanan," kata Khairil Kamil.

"Posisi tengah nampak terlalu gugup walaupun bola perlu dihantar dari bawah hingga ke atas. Mungkin posisi itu cukup padat dengan adanya pemain Hong Kong," kata Ahmad Rizal.

"Azam Azih, Noaa dan Josue perlu direhatkan dan Pan-gon juga tidak perlu terlalu menjaga hati pemain. Dia perlu lebih tegas terhadap pemain yang tidak mencapai standard tu," kata Badrul Hisham.

Dalam perlawanan itu, jaringan dua pemain sayap, Akhyar Rashid dan Faisal Halim sudah cukup untuk memastikan kemenangan berpihak buat skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram