Azam Azmi pilihan terbaik berbanding Syahmi Safari untuk ganti Matt Davies


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Azam (kiri) diberi kepercayaan untuk mengetuai skuad B-22 negara ketika aksi Piala Merlion 2023. — Facebook/FAM

PENANTIAN 41 tahun skuad kebangsaan untuk menjulang Piala Merlion berakhir apabila pasukan Bawah 22 tahun (B-22) menewaskan Hong Kong dengan keputusan 2-1.

Aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura itu menyaksikan anak-anak buah E Elavarasan bermain dengan cukup baik sebelum mendahului menerusi jaringan Najmuddin Akmal pada minit ke-75.

Mereka sekali lagi menggandakan kelebihan dengan rembatan jarak jauh daripada Safwan Mazlan pada minit ke-79 sebelum pihak lawan mengecilkan jurang hasil jaringan Lau Ka Kiu seminit kemudian.

Perlawanan itu pastinya meningkatkan semangat penyokong bola sepak tempatan yang cukup kagum dengan kemampuan pelapis skuad Harimau Malaya.

Pujian pastinya diberikan kepada jentera serangan yang cukup menyerlah sepanjang kejohanan apabila mereka mudah merobek gawang lawan.

Ia dapat disaksikan dengan dua gol yang dijaringkan ketika aksi final di samping empat jaringan di peringkat separuh akhir menentang skuad B-22 Kemboja.

Namun, di sebalik bintang-bintang menyinar itu, pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri berasakan perhatian orang ramai juga perlu diberikan kepada kapten pasukan, Azam Azmi Murad.

Dia yang ketika ini boleh dianggap sebagai salah satu tonggak Terengganu FC sememangnya cukup dikenali dengan kemampuan untuk melakukan terjahan bersih untuk menyekat serangan pihak lawan.

Selain itu, dia juga pernah diberikan peluang untuk bersama-sama skuad senior Harimau Malaya ketika Piala AFF 2022 berikutan ketiadaan pertahanan pilihan pertama, Matthew Davies.

WhatsApp Image 2023-03-28 at 16.14.27

Adakah Davies akan terus beraksi dengan cemerlang untuk satu tempoh yang panjang? Agensi

Azam sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan aksi bersemangat dalam dua perlawanan dalam membantu skuad negara B-22 melakar sejarah tersendiri.

Ia sekali gus menimbulkan satu persoalan menarik, adakah pemain berusia 22 tahun itu sudah cukup bersedia untuk berada dalam pasukan kebangsaan dalam Piala Asia 2023?

Bagi Zuraimi, kepercayaan yang diberikan kepada Azam oleh jurulatih di peringkat kelab mahupun negara sudah membuktikan dia sudah cukup sesuai untuk meningkatkan kemampuan benteng pertahanan Harimau Malaya.

"Belum pun usianya memasuki 23 tahun, Azam sudah tampil sebanyak 51 kali dalam kesebelasan utama Terengganu dalam semua pertandingan dan 12 kali sebagai pemain simpanan.

"Azam Azmi hanya terlepas 15 perlawanan, satu perkembangan luar biasa dari kapten Malaysia B-22 ini yang menjuarai Piala Merlion, inilah pemain terbaik yang dilahirkan oleh Terengganu buat masa ini," katanya.

Jelas Zuraimi, meskipun negara masih memiliki pertahanan kanan Johor Darul Takzim (JDT), Syahmi Safari sebagai pengganti jika Davies cedera, kebolehan Azam meletakkannya lebih tinggi berbanding pemain berkenaan.

Syahmi-Safari

Syahmi (kiri) sukar mendapatkan minit permainan bersama skuad kebangsaan. Agensi

Ia berikutan status Azam dengan khidmatnya cukup didamba ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner selain Nafuzi Zain yang juga bertanggungjawab meningkatkan kebolehan pemain kelahiran Penang itu.

Bagi Syahmi pula, kualiti yang dimiliki Davies menjejaskan peluangnya untuk beraksi dengan lebih kerap sehingga dia terpaksa menunggu aksi Piala FA atau Piala Malaysia jika mahu diturunkan.

"Mungkin sukar untuk menewaskan Matthew Davies tetapi jika KPG berhasrat memanggil Syahmi, Azam Azmi mungkin lebih layak jika dia terus mengekalkan statusnya sebagai pemain penting Terengganu," katanya lagi.

Pandangan itu juga disokong rata-rata penyokong bola sepak tanah air yang cukup bangga dengan peningkatan mendadak graduan akademi Terengganu FC terbabit.

"Pada saya, dia sedikit menurun bersama Terengganu FC dalam lima perlawanan berbanding musim-musim sebelum, tetapi tidak boleh menyalahkan Azam sepenuhnya.

"Namun, saya yakin Azam akan baiki prestasinya untuk masa-masa yang akan datang kerana untuk menjadi tonggak pasukan pada usia 21 tahun adalah satu perkara yang cukup membanggakan," kata Ahmad Amer.

"Dia boleh bermain di banyak posisi kerana ketika pasukan simpanan berada di bawah kendalian (Brad) Maloney, dia main di posisi tengah," kata Arshad Ahmad.

"Nampak lebih yakin dan matang permainannya dan fizikal dia pun lebih baik. Ketika berada bersama skuad B-19 sebelum ini, memang saya percaya dia akan pergi lebih jauh," kata Hafiezudin Daud.

Musim ini, Azam sekali lagi meneruskan prestasi membanggakannya apabila tampil dalam kesemua aksi Liga Super dengan dua daripadanya berakhir tanpa sebarang gol daripada pihak lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram