KETUA jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong, Jorn Andersen mengakui bahawa terdapat terlalu banyak perubahan dilakukan terhadap Harimau Malaya sehingga sukar buatnya mengenali pasukan itu berbanding enam tahun lalu.
Dia yang sebelum ini mengendalikan Korea Utara pernah menundukkan skuad negara dengan keputusan 4-1 sebanyak dua kali dalam kempen kelayakan Piala Asia 2018.
Tambah pengendali kelahiran Norway itu, perubahan itu menyebabkan dia cukup kagum selain percaya bahawa campuran antara pemain tempatan dan naturalisasi akan meningkatkan standard pasukan.
"Hampir 50 peratus daripada pemain Harimau Malaya adalah warga asing. Ketika saya mengendalikan Korea Utara, kami mengalahkan mereka dengan cukup mudah.
"Berbanding sebelum ini, saya rasakan kualiti mereka sudah meningkat dengan saya cukup berminat dengan gaya permainan mereka yang sering menyerang, sesuai dengan bola sepak moden," katanya.
Dia sebelum ini pernah berpengalaman berdepan skuad kebangsaan yang 'baharu' ketika negara menewaskan pasukan Hong Kong 2-0 tahun lalu.
Namun, Andersen ketika ini percaya pasukannya akan turun dan memberikan cabaran berbeza dalam aksi persahabatan Tier 1 yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa.
Baru-baru ini, Hong Kong turut mengadakan perlawanan persahabatan menentang Singapura di Stadium Mong Kok, Hong Kong Selasa lalu dengan keputusan seri 1-1.
Mengulas akan perlawanan itu, Andersen memberi pujian kepada anak-anak buahnya, tetapi percaya pendekatan itu tidak akan membuahkan hasil ketika aksi menentang Harimau Malaya.
"Kami akan sentiasa cuba sesuatu yang baharu kerana pada saya, ia adalah dua perlawanan yang cukup berbeza dengan Singapura lebih berminat untuk bertahan sepanjang 90 minit permainan.
"Malaysia pula akan sering mengasak, tetapi saya yakin kami akan turun dengan lebih bersemangat berbanding kali terakhir kami beraksi," katanya.
Pasukan pelawat juga akan kehilangan khidmat dua pemain, iaitu Helio Goncalves dan Matthew Orrdid yang pastinya akan mencetuskan kebimbangan buat Andersen. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram