SKUAD Bawah 22 tahun (B-22) negara menjuarai Piala Merlion 2023 apabila berjaya menewaskan pasukan Hong Kong dengan keputusan 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Ahad.
Pujian pastinya diberikan kepada jentera serangan yang cukup menyerlah sepanjang kejohanan apabila berjaya membolosi gawang pasukan lawan di samping memperdayakan benteng pertahananpasukan lawan.
Perlawanan itu pastinya meningkatkan semangat penyokong bola sepak tempatan yang cukup yakin dengan kemampuan pelapis skuad Harimau Malaya.
Azam dikatakan tonggak utama bagi pasukan Terengganu FC yang paling menyerlah.
Namun begitu, rata-rata penyokong menganggap Azam Azmi Murad sebagai bintang yang paling menyinar dalam kejohanan singkat itu.
Dia yang ketika ini boleh dianggap sebagai salah seorang tonggak Terengganu FC sememangnya cukup dikenali dengan kemampuan untuk melakukan hadangan dalam menyekat serangan pihak lawan.
Tambahan pula, dia juga berjaya mencipta gandingan baik bersama rakan sepasukan, Haqimi Azim Rosli yang cukup baik dalam memberikan tekanan kepada pasukan lawan.
Semasa aksi perlawanan menentang Kemboja, kelebihan berpihak kepada skuad Harimau Muda apabila Haqimi berjaya menumpaskan benteng pertahanan pasukan lawan dengan jaringan gol pada minit ke-45.
Gandingan antara penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC dan Azam itu sememangnya memberikan impak yang positif terhadap penyokong skuad Harimau Malaya.
Hal ini kerana keserasian yang ditunjukkan oleh penyerang dan pertahanan skuad kebangsaan itu dikatakan sebagai salah satu kunci buat kejayaan pasukan kendalian E Elavarasan itu.
Perkara itu disedari oleh beberapa penyokong yang mana rata-rata kagum dengan gandingan yang dipersembahkan oleh pemain Harimau Malaya itu.
Penyokong mengatakan terdapat keserasian antara Haqimi dan Azam dalam setiap aksi perlawanan.
"Apabila saya tengok skuad B-23 tahun Malaysia bermain, apa yang saya nampak ialah Azam ada gandingan yang baik bersama Haqimi.
"Kalau Terengganu FC dapat Haqimi Azim OK juga, boleh bermain sebagai pemain sayap dan penyerang tetapi secara pinjaman kerana posisi sayap dalam skuad Sang Penyu sangat kritikal," kata Iqie Muhammad.
"Haqimi itu penyerang masa depan Malaysia, pakej lengkap dan baka macam Eropah. Lambat laun, kalau tak ambil, dia pasti akan ke Johor Darul Takzim (JDT), percayalah," kata Fadhlullah Jamil Mohd Isa.
"Boleh itu minta loan dengan Kuala Lumpur (KL) nanti transfer window," kata Syafiq Ni Bos.
Kehadiran Haqimi sudah pasti boleh mengubah corak permainan Terengganu FC yang mana barisan penyerang agak lemah buat masa ini.
Oleh itu, kehadiran kelahiran Gombak, Selangor itu sememangnya boleh membawa sinar kepada skuad Sang Penyu untuk menyerlah dalam perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram