Harimau Muda julang Piala Merlion, tapi fans sukar lupa 'silly mistake' Rahadiazli


  • Podium
  • Ahad, 26 Mac 2023

Rahadiazli ditenangkan rakan sepasukan, Harith Haiqal ketika aksi final Piala Merlion 2023 menentang Hong Kong. — Facebook

SKUAD Harimau Muda menamatkan penantian 40 tahun menjulang Piala Merlion selepas membenam pasukan bawah 22 tahun (B-22) Hong Kong dengan keputusan 2-1 dalam aksi final di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Ahad.

Pasukan Malaysia kendalian E. Elavarasan menggegarkan gawang Hong Kong seawal minit ke-21, namun gol tersebut dinafikan kerana kedudukan ofsaid penyerang Harimau Muda, Haqimi Azim.

Permainan agak seimbang antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan kedudukan terikat 0-0 hingga tamat separuh masa pertama.

Dalam perlawanan itu, anak-anak buah Elavarasan memiliki kelebihan kerana banyak mencipta serangan di depan pintu gol lawan antaranya menerusi percubaan Haqimi Azim dan Safwan Mazlan, namun mereka gagal menembusi gawang lawan.

337823225_917200312807560_5887474655061306310_n

Skuad Malaysia B-22 berjaya menjulang Piala Merlion 2023 selepas menundukkan Hong Kong B-22 dengan keputusan 2-1. — Facebook/ FAM

Memasuki babak kedua perlawanan, Malaysia terus rakus mencari gol namun gol Haqimi Azim pada minit ke-57 sekali lagi dinafikan oleh pengadil selepas pemain gantian, Najmuddin Akmal pula dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

Skuad Harimau Muda memecahkan kebuntuan selepas supersub, Najmuddin membuka akaun jaringan pada minit ke-73 sebelum Safwan merembat gol deras untuk memastikan Malaysia selesa di hadapan dengan 2-0.

Begitupun, Hong Kong pantas mengejar kedudukan apabila penjaga gol, Rahadiazli Rahalim menghadiahkan gol untuk pasukan lawan sejurus selepas itu kerana gagal membuat clearance dengan baik.

337515145_730243682135020_7866261834277771968_n

Harimau Muda menewaskan Kemboja 4-2 dalam aksi separuh akhir. — Facebook/ FAM

Rahadiazli membuat kesilapan hampir sama dalam aksi separuh akhir menentang Kemboja tempoh hari yang mana penjaga gol Terengganu FC itu agak cuai ketika menangkap bola dengan tangannya yang menyaksikan pelawat dengan mudah mencuri bola sebelum menjaringkan gol mudah.

Seorang penyokong Harimau Muda, Muhammad Izzudin berpendapat kesilapan mudah seperti itu mensia-siakan gol yang diraih rakan.

"Dah dua game buat mistakes Rahadiazli ni, penat member buat gol, boleh dia lepas silly gol macam tu saja.

"Nak kata tiada minit permainan, selalu je jadi 1st eleven di TFC. Harapnya tournament ni bagi pengajaran berguna untuk semua pemain. Nampak ada sinar untuk bola sepak negara. Keep it up guys," katanya.

"Banyak kali dah terjadi Rahadiazli...patut clear mudah. Berhati-hatilah lain kali...fokus betul-betul, cepat lupakan kesilapan tadi," kata Khoimeni Kjs.

Sementara itu, sebelum perlawanan berakhir, Haqimi Azim dan pemain Hong Kong, Maddox Kong dilayangkan kad merah ketika perlawanan pada masa tambahan berbaki kurang satu minit.

Insiden itu dipercayai kerana rasa tidak puas hati Maddox yang sebelum itu menerima kad kuning kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada Rahadiazli kerana menggagalkan percubaannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram