Bintang JDT akui saingan sengit rebut posisi


  • Podium
  • Isnin, 27 Mac 2023

Kali terakhir Shahrul berada dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Pan-gon ialah pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun tahun lepas. — Facebook/FAM

PEMAIN pertahanan negara Shahrul Mohd Saad mengakui berdepan cabaran hebat bagi merebut kesebelasan utama skuad Harimau Malaya berdepan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, pada Selasa.

Pemain Johor Darul Takzim (JDT) berusia 30 tahun itu secara peribadi berpandangan persaingan di posisi pertahanan merupakan yang paling sengit pada kem latihan pusat pasukan negara di Johor Bahru, Johor kali ini.

Beliau berkata, barisan pemain dipanggil kali ini seperti Dion Cools, Dominic Tan, Muhamad Feroz Baharudin dan Ahmad Khuzaimi Piee, kesemuanya berpengalaman luas dan berada pada tahap prestasi terbaik.

"Memang saya rasa kem kali ini yang paling sengit di bahagian pertahanan...tetapi ini bagi saya adalah satu persaingan yang sihat untuk kami, kami juga sentiasa beri sokongan antara satu sama lain.

"Apa yang penting ialah sesiapa yang diberi peluang untuk bermain esok mesti memberikan yang terbaik untuk pasukan," katanya pada sidang media pra-perlawanan di Johor Bahru pada Isnin.

Kali terakhir Shahrul berada dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Pan-gon ialah pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun tahun lepas sebelum diketepikan bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai pada September tahun sama akibat faktor kecergasan.

WhatsApp Image 2023-03-27 at 20.17.04

Shahrul bersama Pan-gon ketika sidang media pra-perlawanan di Johor Bahru pada Isnin. — Facebook/FAM

Bekas pemain Perak itu turut tidak berada dalam pasukan negara yang mara ke peringkat separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 hujung tahun lalu.

Meskipun lama tidak beraksi bersama pasukan negara, Shahrul berkata, beliau tidak berdepan kesukaran untuk memahami arahan dan kehendak Pan-gon pada kem latihan pusat kali ini.

"Bagi saya senang untuk menyesuaikan diri dengan dia (Pan Gon), dia beri arahan yang jelas tentang taktikal dan cara nak bermain, kita tahu bola sepak moden sekarang bukan sahaja memerlukan pertahanan untuk bertahan, tetapi (juga) untuk (elemen) penguasaan bola.

"Ini adalah satu perkara yang terbaik untuk memperbaiki diri sendiri supaya saya dapat bermain dengan lebih baik dalam taktikal dia," katanya yang membuat dua penampilan sebagai pemain gantian dalam saingan Liga Super 2023 setakat ini.

Aksi Malaysia berdepan Hong Kong ialah pertemuan kedua kedua-dua pasukan dalam tempoh sembilan bulan selepas pasukan negara menewaskan lawannya itu 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Jun tahun lalu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram