PENJAGA gol utama skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Rahadiazli Rahalim menjadi tumpuan ramai apabila secara tidak sengaja melakukan dua kesilapan ketika saingan Piala Merlion 2023 di Singapura.
Kecuaian Rahadiazli pada dua perlawanan berturut-turut ketika bertemu Kemboja dan Hong Kong jelas mengundang padah apabila penyerang pasukan lawan berjaya menjaringkan gol mudah susulan kesilapan dilakukannya.
Keadaan tersebut jelas mengundang kemarahan para peminat di media sosial yang mengkritik aksi penjaga gol berusia 21 tahun itu.
Begitupun, Rahadiazli bertindak memohon maaf dan berazam untuk bangkit selain memperbaiki kesilapan itu demi memberikan yang terbaik buat negara.
Sebagai pertahanan terakhir pasukan, penjaga gol merupakan watak penting untuk memastikan gawang tidak bolos lebih-lebih lagi dengan gol-gol mudah seperti apa yang terjadi kepada Rahadiazli.
Jika ia berlaku, sudah tentu momen tersebut akan diingati sebahagian besar para penyokong bola sepak negara.
Berikut merupakan tiga lagi penjaga gol kebangsaan yang pernah melakukan kecuaian tak masuk akal sehingga mengakibatkan benteng kepada skuad kebangsaan bocor dalam aksi penting di peringkat antarabangsa:
1. Haziq Nadzli (Sukan SEA 2017)
Haziq Nadzli. — Facebook/Johor Southern Tigers
Haziq Nadzli pernah melalui situasi sama yang mungkin memberi impak lebih besar terhadap karier bola sepaknya.
Kesilapan penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) itu menyebabkan Malaysia kempunan pingat emas Sukan SEA 2017.
Dalam final Sukan SEA 2017, dia menghadiahkan gol buat Thailand seterusnya pingat emas yang diidamkan seluruh negara saat itu.
Skuad B-22 negara sebelum itu cemerlang sejak peringkat kumpulan apabila menang semua perlawanan di samping mengatasi Indonesia 1-0 di peringkat separuh final.
Dia yang tertumbuk bola masuk ke gawang sendiri boleh dikatakan satu insiden yang menyakitkan semua yang menyaksikan kerana dia tidak langsung dicabar pihak lawan.
Seperti Rahadiazli, Haziq tampil memohon maaf dan berjanji memperbaiki kesilapannya itu, namun kepercayaan pihak kejurulatihan jelas semakin pudar akan dirinya hingga ke hari ini.
2. Farizal Marlias (Piala Asia 2023)
Farizal Marlias. — Facebook/Johor Southern Tigers
Bagi Farizal Marlias pula, jaringan sepakan penalti Bahrain pada penghujung permainan meranapkan impian Malaysia untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata dalam saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.
Farizal dirasakan tidak sepatutnya menjatuhkan penyerang lawan dalam kotak penalti untuk memenangi bola kerana penyerang itu tidak berada dalam kedudukan yang selesa untuk menjaringkan gol.
Pada perlawanan itu, skuad kebangsaan tewas 1-2 di tangan Bahrian dalam aksi yang berlangsung Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu.
Bagaimanapun, Farizal mampu menarik nafas lega apabila negara masih berpeluang melangkahkan kaki ke kejohanan tersebut dengan mengumpul mata-mata berharga.
Tetapi, dengan kredibiliti penjaga gol itu, ia pasti sukar untuk dilupakan dengan ketua jurulatih ketika ini, Kim Pan-gon memilih untuk menurunkan seorang lagi pemain JDT, Syihan Hazmi.
3. Kamarulzaman Hassan (Sukan SEA 2001)
Kamarulzaman Hassan. — Agensi
Kamarulzaman Hassan merupakan bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan pada era 2000-an dengan dia lebih dikenali sebagai Ayoi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air
Bagaimanapun, seperti penjaga gawang lain, pemain berkenaan juga pernah mendapat kecaman ramai gara-gara menjaringkan gol sendiri.
Insiden itu berlaku daripada kesilapan yang dilakukan oleh Ayoi ketika final acara bola sepak skuad B-23 Sukan SEA 2001 yang menyebabkan Malaysia kecundang di laman sendiri kepada Thailand.
Pada perlawanan tersebut, Ayoi tertampan umpanan lintang pemain skuad Gajah Perang, Sarawut Treephan ke dalam gawang sendiri pada minit-minit akhir perlawanan.
Sejak daripada peristiwa tersebut, penjaga gawang yang pernah menyumbang jasa kepada Penang FC itu tidak lagi bermain bersama skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram