PENJAGA gol skuad bawah (B-22) tahun kebangsaan, Rahadiazli Rahalim menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap sistem penggiliran penjaga gol yang diamalkan di Terengganu FC menjadi penyebab dia mudah kehilangan fokus ketika aksi di Kejohanan Merlion Cup 2023 di Singapura.
Pemain berusia 21 tahun yang juga penjaga gawang skuad Sang Penyu itu sebaliknya mengakui ia adalah kesilapan peribadi dan tidak menyalahkan sesiapa atas kesilapan yang dilakukan dalam dua aksi berbeza menentang Hong Kong dan Kemboja dalam kejohanan tersebut.
“Tidak ada pemain yang mahu melakukan kesilapan dengan sengaja dan sudah pasti bermain untuk Malaysia, saya akan berikan 100 peratus terbaik buat negara.
"Ia satu pengalaman pahit yang sukar ditelan tetapi saya perlu bangkit daripada kekecewaan ini.
“Saya fikir kesilapan individu tidak menjadi punca penggiliran ketika bersama kelab. Saya mempelajari sesuatu ketika bermain di Piala Merlion ini.
"Saya faham sentimen penyokong tetapi dalam masa yang sama, ini adalah tanggungjawab saya untuk memberikan yang terbaik buat negara dan bangkit demi diri sendiri,” katanya memetik laporan Flash Sukan.
Skuad Malaysia B-22 berjaya menjulang Piala Merlion 2023 selepas menundukkan Hong Kong B-22 dengan keputusan 2-1. — Facebook
Sehubungan itu, Rahadiazli atau mesra dipanggil Abey memohon maaf kepada semua pihak atas dua kecuaian yang dilakukannya ketika mewakili negara dalam kejohanan berkenaan.
“Saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan tetapi dengan pengalaman ini saya berharap ia dapat mematangkan saya untuk terus perbaiki kelemahan pada masa akan datang," katanya.
Meskipun melakukan dua kesilapan berprofil tinggi, Rahadiazli tetap menunjukkan aksi yang baik sepanjang 180 minit permainan dan membantu Malaysia menjulang Piala Merlion sekali gus memberikan semangat tambahan menjelang Temasya Sukan Sea Kemboja pada Mei. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram