Dapat 3 mata pertama, fans masih tak puas desak Sang Penyu buat perubahan


  • Podium
  • Ahad, 12 Mac 2023

Penyokong masih berasakan skuad Sang Penyu bergelut untuk menjaringkan gol walaupun mempunyai kelebihan bermain di halaman sendiri. 

KEJAYAAN Terengganu FC membawa pulang tiga mata penuh pada malam Sabtu ketika menentang pasukan PDRM FC ternyata tidak cukup memuaskan hati penyokongnya.

Walaupun ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner melakukan perubahan drastik ke atas kesebelasan utamanya namun ia masih tidak dapat menutup kelemahan pasukan tersebut.

Malah dengan kemasukan Habib Haroon dan Jordan Mintah serta keserasian yang dicipta mereka dengan bintang Thailand, Adisak Kraison, ia belum cukup untuk membuatkan penyokong Sang Penyu berpuas hati.

Hal ini kerana, terdapat sebahagian penyokong berasakan kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu hanya bernasib baik ketika menentang skuad Sang Saka Biru.

Dalam aksi keempat Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, skuad Sang Penyu juga dilihat bergelut untuk menjaringkan gol walaupun mempunyai kelebihan bermain di halaman sendiri.

Percubaan demi percubaan gagal disudahkan dengan baik dan hanya selepas 76 minit masa perlawanan, pemain pertahanan import TFC, Sardor Kulmatov menyumbat gol pertama buat pasukan itu.

Jika melihat kepada prestasi perlawanan sebelum ini, Terengganu FC masih belum lagi dapat menunjukkan taring yang sebenar ketika berada di atas padang.

334973651_761046478551105_4985616935779357989_n

Terengganu FC masih belum menunjukkan taring sebenar ketika berada di atas padang. — Facebook/PDRMFC

Seorang penyokong, Razak Kayne berpendapat, import Terengganu FC tidak cukup bagus dan dilihat mempunyai kualiti sama seperti pemain tempatan.

"Kalau begini gaya Terengganu main, saya berani kata mereka akan berada di kedudukan tiga terbawah jika jurulatih Terengganu tidak menukar taktikal dan mendapatkan pemain import yang bagus.

"Pemain import Terengganu sama level dengan pemain tempatan yang langsung tidak berupaya menggugat team lawan. Bayangkan kalau PDRM tadi cukup pemain, mahu Terengganu kemarau gol," katanya.

Afdlen Samat pula berasakan pasukan kesayangannya lebih bagus di bawah bimbingan jurulatih musim lalu iaitu Nafuzi Zain (kini jurulatih Kedah Darul Aman) ,

"Lawan 10 orang pun susah nak menang...best lagi Terengganu FC masa di bawah kendalian Nafuzi Zain," katanya.

Sementara itu, Jo Al Rawi memuji disiplin pemain PDRM FC yang menampilkan permainan cukup kemas dari segi pertahanan.

"Kebal PDRM kali ini, kemas bertahan. Kesilapan sikit dan spoilt lepas penjaga gol, Mohamad Ramdhan kena kad merah. Terengganu banyak serang tapi finishing kena baiki lagi," katanya.

"Bek pertahanan PDRM FC sangat organize dan berdisiplin, susah Terengganu FC nak jaringkan gol. Ramdhan sebelum kena buang padang memang padu, banyak save bola yang boleh gol, jika dia tak dibuang padang, rasanya seri saja malam ni," katanya.

Ishak Mohamad pula berpendapat, penyerang Terengganu FC kurang kreatif dan gagal mencari peluang mencipta akaun jaringan.

"Sepatutnya penyerang perlu bijak buat larian untuk cari peluang, bukan tunggu peluang," ujarnya.

Keputusan perlawanan antara Terengganu FC dan PDRM FC sekali gus menyaksikan Sang Penyu berada di tangga keenam Liga Super, selepas mengutip empat mata, satu kemenangan daripada keempat-empat perlawanan setakat ini.

Sementara itu, PDRM FC kekal berada di tangga ketujuh, apabila berjaya mengumpul lima mata dan menang satu daripada empat perlawanan.

Terengganu FC akan bertembung dengan Negeri Sembilan FC pada Khamis depan, manakala PDRM FC pula berdepan Kelantan United FC pada Sabtu depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram