Miliki aura kapten antara 3 sebab Tae-su layak bergelar naturalisasi


  • Podium
  • Rabu, 08 Mac 2023

Tae-su diberikan tanggungjawab menggalas tugas sebagai kapten menggantikan Baddrol Bakhtiar pada musim ini. — Facebook/SabahFC

PEMAIN import Sabah FC, Park Tae-su sememangnya cukup dikenali dalam arena bola sepak tanah air terutamanya dalam kalangan penyokong Negeri di Bawah Bayu.

Selain mempamerkan prestasi yang cemerlang sepanjang musim, pemain pertahanan tengah itu dilihat banyak membantu skuad Sang Badak melancarkan gerakan ke atas untuk menjerat pasukan lawan.

Dalam beberapa perlawanan sebelum ini , Tae-su juga mampu menjadi pemain yang digeruni oleh pihak lawan kerana ketangkasannya di atas padang dan keupayaannya untuk menjaringkan gol.

Hal itu terbukti pada perlawanan Sabah FC menentang PDRM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 25 Februari lalu yang mana pemain berusia 33 tahun itu berjaya meledakkan satu gol.

Tae-su sekali lagi menunjukkan kehebatannya pada perlawanan menentang Kelantan United FC di laman sendiri dengan menjaringkan satu gol membolosi penjaga gawang Kelantan United, Ahmad Asyraaf Omar.

Sehubungan itu, melihat kepada prestasi konsisten atas padang yang ditunjukkan pemain berketinggian 185 sentimeter tersebut, penyokong berharap agar dia dapat dijadikan pemain naturalisasi.

Selain banyak menyumbang kepada peningkatan arena bola sepak Sabah, berikut merupakan tiga lagi sebab Tae-su layak bergelar pemain naturalisasi.

1. Aura kapten Sabah FC

333400706_1718167931932807_2693312705017081779_n

Walaupun baru menyarungkan lilitan kapten, Tae-su dilihat dapat menjalankan tugas itu dengan baik setakat ini. — Facebook/SabahFC

Meskipun bukan sebagai penyerang utama, kemampuannya untuk mengecewakan pasukan lawan tidak boleh dipandang ringan.

Pada masa sama, ketua jurulatih Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee (OKS) memberikan kepercayaan kepada Tae-su untuk menggalas tugas sebagai kapten menggantikan Baddrol Bakhtiar pada musim ini.

Ia tentunya satu tugas berat buat Tae-su kerana Baddrol mempunyai aura tersendiri sebagai kapten dan menggantikan pemain legenda Kedah itu menuntut Tae-su bekerja keras untuk memastikan keharmonian serta keserasian dalam kalangan rakan sepasukan.

Walaupun baru menyarungkan lilitan kapten, dia dilihat dapat menjalankan tugas itu dengan baik setakat ini.

2. Fasih berbahasa Melayu

334421738_749708269910996_6554683023972087288_n

Tae-su diberi nama jolokan 'Karim' kerana fasih berbahasa Melayu. — Facebook/SabahFC

Pemain yang digilai penyokong Sabah itu turut fasih berbahasa Melayu yang sekali gus memudahkan Tae-su untuk berkomunikasi dengan rakan sepasukannya yang lain.

Dengan kelebihannya itu juga, pemain yang diberi nama jolokan 'Karim' dalam arena bola sepak tanah air itu dilihat boleh diserap menjadi pemain Harimau Malaya selepas mendapat status pemain naturalisasi.

Sekiranya ia direalisasikan, perkara tersebut dilihat memberi kelebihan kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk memudahkan komunikasi antara pemain muda.

Selain itu, wataknya yang mesra juga sangat disenangi oleh pemain kelab lain kerana mempamerkan semangat berpasukan yang sangat tinggi.

3. Menyertai Sabah FC sejak 2019

334271283_1174048830141874_7349246575518332330_n

Tae-su (dua dari kanan) menyertai Sabah FC sejak Januari 2019. — Facebook/SabahFC

Tae-su menyertai Sabah FC sejak Januari 2019 dan terus melebarkan sayap menunjukkan kehebatannya sehingga sekarang.

Jika melihat kepada syarat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tae-su berpeluang untuk menjadi pemain naturalisasi dengan syarat taraf kewarganegaraan pemain yang diterima adalah melebihi dari liam tahun sebelum tarikh perlawanan pertama musim baharu Pertandingan Liga Malaysia.

Sehubungan itu, ramai penyokong mengharapkan agar pemain kesayangan mereka itu diberikan status naturalisasi agar terus cemerlang mengasah sumbu skuad Sang Badak pada setiap perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram