‘Macam liga kampung’, kualiti fasiliti kelab Liga Super di Lembah Klang kaw-kaw kena kritik


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Kualiti padang beberapa venue Liga Super terus menjadi bahan bualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air. — Bernama

SEBELUM ini, beberapa kritikan pedas dilontarkan penyokong bola sepak tempatan yang kurang senang dengan kualiti padang Kuala Lumpur (KL) City FC.

Perkara tersebut dilihat ketika aksi menentang Penang FC pada aksi pembukaan liga yang mana kelihatan padang di Stadium Cheras, Kuala Lumpur tidak berada pada kondisi terbaik.

Kekecewaan itu juga dilontarkan dua jurulatih kelab Liga Super, Bojan Hodak dan Esteban Solari yang berpendapat keadaan itu akan menyebabkan kecederaan terhadap pemain.

Namun, baru-baru ini, pasukan Lembah Klang itu sekali lagi menjadi buah mulut penyokong bola sepak tanah air gara-gara satu gambar tular yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom di laman Twitter peribadinya.

Fq0RWsRaYAEAx8f

Gambar tular yang dikongsikan wartawan Fina Nasrom. — Twitter

Ciapan yang dibuat pada Jumaat itu memaparkan sebuah katil urutan pemain diletakkan di ruang terbuka dengan label 'Bilik kesihatan dan akses pertolongan cemas'.

"Rumah kepada finalis Piala AFC 2022, pusat yang berkonsepkan alam sekitar dan futuristik," tulisnya.

Perkara tersebut pastinya menconteng arang terhadap pihak pengurusan KL City FC, lebih-lebih lagi apabila ia menerima ratusan komen daripada penggemar bola sepak tanah air.

Seorang pengguna media sosial, @wow36900115 berasakan sekiranya mempunyasi fasiliti yang baik, ia pastinya akan membuatkan kelab itu semakin kuat berbanding pasukan lain.

"Kalau fasiliti seperti ini pun boleh masuk final, bayangkan kalau ada fasiliti yang canggih," ciapnya.

@AspTo1 pula meluahkan rasa sedih apabila melihat fasiliti yang digunakan oleh skuad Warga Kota.

"Sedih tengok fasiliti pasukan Liga Super. Basic pun hampeh (teruk)," ciapnya.

Seorang lagi pengguna media sosial, @PendetaSang berasa malu melihat fasiliti yang digunakan oleh kelab tersebut.

"Malu mat, ini saja level liga kita," katanya.

@AAjibmelo pula meninggalkan komen sinis apabila melihat gambar tular tersebut.

"Ini skuad City ke kampung?," tulisnya.

Skuad Warga Kota difahamkan masih berada di tahap perancangan untuk membangunkan sebuah fasilti kesihatan dan latihan bagi membantu kelab berkenaan berada di tahap lebih baik selepas ini.

Ia berikutan kehadiran pemilik baharu, Azri Azerai di bawah syarikat ternama tanah air, Rinani Group Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram