SUDAH tiga perlawanan berlangsung namun pemain sayap pasukan kebangsaan, Faisal Halim belum lagi menunjukkan taring yang sebenar ketika berada di atas padang sepanjang Liga Super musim ini.
Setakat tiga aksi Liga Super, Faisal hanya merekodkan tiga bantuan gol bagi membantu jentera serangan kelab Selangor FC mencabar kejuaraan.
Hal ini menyebabkan penyokong mula mempertikaikan kehebatan sebenar penyerang bertubuh kecil itu. Pada masa, ada segelintir penyokong yang berasakan pemain yang diberi nama jolokan Mickey itu hanya suka meraih perhatian apabila kerap terlibat dalam insiden hangat di atas padang.
Pertemuan bersama Sri Pahang FC di laman sendiri membuktikan perkara tersebut apabila berlaku pergelutan dengan penyerang Tok Gajah, Azrif Nasrulhaq baru-baru ini.
Pemain berasal dari Pulau Pinang itu juga dilihat masih belum menjumpai rentak sekali gus meresahkan penyokong-penyokong Selangor.
Pada masa sama, ada yang sudah mula membandingkan kredibiliti penyerang berusia 25 tahun itu dengan penyerang berbisa Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Arif Aiman berjaya meledakkan dua gol dan merekodkan tiga bantuan gol bagi membantu skuad Harimau Selatan. —Facebook/JohorSouthernTigers
Jika dibandingkan dengan Mickey, pemain yang berusia 20 tahun itu dilihat cemerlang dalam tiga perlawanan dan berjaya meledakkan dua gol dan merekodkan tiga bantuan gol bagi membantu skuad Harimau Selatan.
Arif Aiman yang pernah memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu juga dilihat terus menunjukkan prestasi cemerlang tanpa kontroversi seperti Faisal.
Malah ada juga penyokong, Dean Izzi yang sinis menyuarakan pendapat Faisal tidak setanding dengan seorang lagi pemain pertahanan JDT, Corbin Ong yang menjaringkan dua gol ketika menentang Negeri Sembilan FC yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada 6 Mac lalu.
"Hebat lagi Corbin Ong, jaringkan dua gol tapi masih berpijak di bumi yang nyata. Tidak pula nak cari gaduh atau tunjuk dia pertahanan paling hebat di Malaysia," katanya.
Azman Misran pula berasakan Faisal tidak memberikan yang terbaik ketika bermain dalam skuad Gergasi Merah jika dibandingkan dengan prestasinya dalam pasukan Harimau Malaya.
"Main pasukan kebangsaan jadi 'Siuuuuu' tetapi bila main dalam kelab jadi 'Sueeehhh'," katanya.
Ramli Zaharah Ramza turut meninggalkan komen sinis buat pemain tersebut.
"Kalau sudah tujuh perlawanan Mickey masih belum menjaringkan gol. Rasanya Selangor dah boleh buka buku baru. Rugi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram