Dendam terlunas jinakkan Kedah B tapi penyokong TFC luah rasa kecewa


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Mintah menjaringkan gol kedua buat TFC II pada minit ke-45 ketaka aksi perlawanan menentang KDA FC B di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat. — Facebook/KDAFC

PERSEMBAHAN Terengganu FC ketika aksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super baru-baru ini mendapat kritikan penyokong apabila skuad Sang Penyu masih belum mendapat keserasian atas padang.

Terengganu yang dibimbing Tomislav Steinbruckner gagal mencipta jaringan apabila serangan mereka mudah dipatahkan benteng pertahanan pasukan Sang Kenari.

Meskipun menurunkan peledak berbahaya seperti Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut untuk menerajui jentera serangan, namun kedua-dua import itu seakan-akan masih tumpul untuk memecahkan kebuntuan di hadapan gawang.

Lantas, penyokong TFC meminta Tomislav mempertimbangkan dua nama untuk diturunkan iaitu Jordan Mintah dan Habib Haroon pada perlawanan akan datang.

Namun mereka ibarat dikecewakan selepas nama salah seorang daripada import tersebut disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad TFC II ketika menentang skuad 'adik' KDA FC, KDA FC B di Stadium Darul Aman, Kedah dalam kejohanan Piala MFL pada Jumaat.

Manakan tidak, beraksi di bahagian serangan, Mintah menggalas tanggungjawab dengan sangat baik. Bahkan penyerang dari Ghana itu mencetak nama sebagai salah seorang penjaring.

330419713_1232315500702896_8505641482548688711_n

Nama Mintah disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad TFC II ketika menentang skuad adik KDA FC. — Facebook/TFCII

Melihat kepada prestasi permainan yang ditunjukkan pada Jumaat, Mintah meledak gol kedua buat TFC II pada minit ke-45 di samping Muslihuddin Atiq yang menjaringkan gol awal Sang Penyu pada minit ke-8 dan ke-39.

Kemenangan 3-1 ke atas KDA FC B ternyata mengubat sedikit kekecewaan dan melunaskan dendam berikutan kekalahan skuad utama TFC tempoh hari.

Dengan ketajaman yang ada ada pada Mintah, ramai penyokong TFC mahu pemain import berketinggian 182 sentimeter dipanggil membarisi skuad utama Sang Penyu bagi mengelakkan pasukan itu terus dimalukan pada aksi akan datang.

FYrpzumaMAARdT0

Mintah pernah beraksi bersama KL City FC. — Facebook/MFL

Seorang penyokong, Syuk Kasyah berpendapat, Mintah perlu diletakkan sebagai penyerang utama TFC dan bukan TFC II.

"Patut la Mintah tak ada dalam TFC rupanya main dalam TFC II. Dia patut masuk skuad utama, ganti Ivan Mamut," tulisnya.

Pendapat Syuk itu turut disokong oleh Syed Amar.

"Mintah itu sepatutnya dalam skuad utama, ganti Mamut. Sayang pemain hebat seperti itu dilepaskan," katanya.

Seorang lagi penyokong, Rashid Rashford pula mengharapkan Mintah dan Adisak bergandingan di bahagian serangan kerana keserasian mereka ketika latihan pramusim TFC.

"Baikkan letak Mintah dengan Adisak pair kat depan. Ada chemistry mereka ni. Nampak serasi atas padang," katanya.

Untuk rekod, Mintah pernah dipinjamkan ke KL City FC ketika jendela perpindahan kedua Jun tahun lalu dan dia mencuri perhatian ramai selepas berjaya memenangi gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana apabila menjaringkan 16 gol daripada 15 perlawanan.

Terengganu akan beraksi di depan penyokong dalam pertemuan dengan KL City FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada Ahad ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram