Bergson cedera, buka laluan rakan senegara tunjuk taring aksi menentang NSFC


  • Podium
  • Isnin, 06 Mac 2023

Dikhabarkan penyerang berbisa, Bergson tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan. — Facebook/ JohorSouthernTigers

HASRAT penyokong untuk melihat penyerang berbisa Johor Darul Takzim, Bergson da Silva dalam aksi tumpuan Liga Super di antara skuad Harimau Selatan dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Isnin berkemungkinan tidak kesampaian.

Dikhabarkan pemain import berasal dari Brazil itu tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Desas-desus pemain itu tidak berada dalam kesebelasan utama pada aksi perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan semakin kuat apabila kelibatnya tidak kelihatan pada sesi latihan JDT pada Ahad.

Melihat kepada situasi tersebut, rata-rata penyokong menjangkakan penyerang baharu JDT, Diogo Luis Santo bakal menggalas tugas sebagai penyerang utama menggantikan Bergson.

Hal ini dikuatkan lagi dengan perkongsian gambar di laman Facebook Johor Southern Tigers yang menunjukkan Diogo mengikuti trip perjalanan menuju ke Paroi manakala, kelibat Bergson pula tidak kelihatan dalam perkongsian gambar tersebut.

Jika Diogo diturunkan pada perlawanan Isnin ini, ia pastinya akan memberikan percaturan permainan yang berbeza sekali gus bakal memperlihatkan aksi penyerang sensasi itu buat kali pertama di pentas Liga Super musim ini.

333854497_960472208648055_6004260601226883128_n

Jika Diogo diturunkan pada perlawanan Isnin ini, ia pastinya akan memberikan percaturan permainan yang berbeza. — Facebook/ JohorSouthernTigers

Pada masa sama, penyokong juga pastinya teruja melihat debut sulung dari pemain berusia 35 tahun ini kerana faktornya yang agak berusia.

Oleh yang demikian, tentunya, aksi Diogo ditunggu-tunggu kerana ramai peminat bola sepak tempatan mahu melihat sejauh mana kehebatannya sehingga JDT sanggup mengikat pemain berketinggian 1.82 meter itu.

Jika sensasinya sehebat Bergson, JDT pasti dapat berpesta gol dan memastikan rekod tanpa kalah di tempat lawan diteruskan bagi musim ini.

Untuk rekod, Diogo pernah menyertai JDT pada musim 2019 dan 2020 dan berjaya menjaringkan 16 gol selepas membuat 32 penampilan bersama skuad Harimau Selatan.

Namun pada penghujung 2020, pemain kelahiran Sao Paulo itu tidak menyambung kontrak bersama JDT sebaliknya memilih untuk menyertai kelab dari Thailand, BG Pathum United dan pada bulan November 2022, dia membuat keputusan untuk tidak meneruskan karier bersama kelab berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram