'Berehatlah dengan tenang', rakyat tanya bekas KPN kes kematian Sarjan di Pulau Pinang


  • Massa
  • Selasa, 21 Feb 2023

Anggota polis berpangkat Sarjan itu ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada Ahad. —Twitter/ Selwam Arjunan

KES kematian melibatkan anggota polis bukanlah sesuatu yang asing.

Walaupun anggota keselamatan negara dipersiapkan untuk bersedia dengan segala kemungkinan, namun risiko dan situasi kerja dihadapi sering kali menyebabkan mereka terdedah dengan risiko kehilangan nyawa ketika bertugas.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada tahun 2019 memaklumkan, berdasarkan statistik polis, secara purata sekurang-kurangnya 32 pegawai dan anggota polis meninggal dunia setiap bulan ketika masih bertugas.

Pada Ahad lalu, negara dikejutkan dengan kes kematian seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditemui meninggal dunia dengan tiga kesan tembakan Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Laporan awal media menyatakan bahawa kejadian berlaku selepas anggota keselamatan itu dipercayai tertembak diri sendiri sehingga membawa kepada kematiannya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa ditemui dengan kesan tembakan pada leher, dada serta kepala dengan sepucuk pistol turut ditemui bersama mangsa.

Pihak polis memaklumkan bahawa kes tersebut masih sedang dalam siasatan dan mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan spekulasi.

Pada masa sama, turut berkongsikan berita kejadian tersebut ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin.

Di ruangan komen, terdapat pengguna yang meminta beliau untuk memberikan ulasan terhadap kes tersebut.

"Tan Sri ulas sikit hal ini, saya bukan polis rasa tak masuk akal pulak tiga das tembakan itu dari diri si mati," ujar Apeace'Q'.

Dalam pada itu, rata-rata warganet melahirkan keraguan mereka terhadap penjelasan awal diberikan berhubung kes tersebut.

Menurut mereka, adalah agak meragukan apabila seseorang individu mempunyai keupayaan untuk menembak diri sendiri sebanyak tiga kali.

"Tembak diri sendiri? Banyak kali macam itu dan tembakan yang lain selepas tembakan pertama tu tepat dekat tempat yang fatal? Tak logik.

"Selalu lepas tembakan pertama pon dah lemah, kalau betul dia tembak diri sendiri lagi, mesti tembakan dia messy (berterabur) dan tak kena tepat dekat tempat fatal itu," kata Shiee.

Susulan daripada itu, warganet menggesa pihak polis supaya menyiasat dengan terperinci motif kejadian tersebut.

"Mungkin polis yang jujur, mungkin juga ada masalah lain yang belum diketahui," kata ihsan_ahmad.

"Mesti ada motif di sebalik kematian ini. korek hingga ke akar umbi," ujar Mhmz6731.

Pada masa sama, nanokiut pula menulis," Something fishy, mohon siasatan secara telus tanpa pilih kasih, darjat atau pangkat. Kami rakyat Malaysia menunggu hasilnya."

Dalam pada itu, terdapat juga pengguna dipercayai kenalan dan rakan sekerja yang berkongsikan reaksi terhadap kejadian berkenaan.

"Yang tahu cerita je tahu apa yang berlaku. RIP Sarjan," kata aziechah.

"Berehat dengan tenang Sarjan. Anggota yang sangat baik dan bila bercakap tak pernah besar suara. Lembut tutur kata dan sangat disenangi oleh kawan-kawan," tulis Mami Robecca.

"RIP buat mendiang. Semoga ahli keluarga tabah hadapi dugaan. Saya selaku anggota polis agar pihak atasan mengira kebajika serta masalah bawahan," ujar _Mr.Ben_. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram