Muhyiddin jawab 'tak tahu', netizen kata macam pernah dengar


  • Politik
  • Ahad, 19 Feb 2023

Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai projek Jana Wibawa.

PENGUMUMAN kerajaan untuk menangguhkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) bernilai RM5.7 bilion menimbulkan spekulasi baharu berhubung isu ketelusan dalam pentadbiran sebelum ini.

Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, Kementerian Kewangan mengarahkan langkah tersebut diambil bagi membolehkan penelitian dilakukan semula terhadap tatacara perolehan dalam projek itu dan memastikan ia dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu berkata, ini kerana terdapat kemungkinan wujudnya unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih membabitkan program berkenaan.

Ekoran daripada itu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan mengenai projek tersebut.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, agensi memaklumkan bahawa tindakan memanggilnya itu adalah bagi melengkapkan siasatan dan bukannya sebagai suspek untuk sebarang tindakan pendakwaan.

Menerusi kenyataan sama, Ahli Parlimen Pagoh itu juga menjelaskan bahawa projek itu diusahakan Kewangan (MOF) dengan ia dicadangkan Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membantu kontraktor Bumiputera semasa Covid-19 daripada berhadapan situasi gulung tikar.

Malah Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau telah menjelaskan bahawa dirinya langsung tidak mengenali atau mengetahui mengenai nama syarikat yang ditimbulkan oleh SPRM ketika sesi memberi keterangan itu.

Namun begitu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet dilihat tidak berpuas hati dengan alasan diberikan beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam isu tersebut.

Brief respite: Former prime minister Najib attending proceedings at the Kuala Lumpur Courts Complex. He still faces 25 charges in total.

Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Seorang pengguna, Nasir Nayan mempersoalkan bagaimana seorang pemimpin tertinggi negara mengambil sikap tidak tahu berkenaan dengan perkara tersebut memandangkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit akibat ketirisan dana.

"Negara dan rakyat hilang berbilion, tiba-tiba seorang menteri tertinggi cakap tak tahu pun projek dan keluaran duit sebab orang lain yang urus. Betul ke macam itu sistem urusan dalam negara?

"Jangan satu hari nanti bangun tidur, tiba-tiba menteri cakap Malaysia dah dijual, (cakap) saya tak tahu pun dia orang kawtim belakan saya. Naya pak karim," katanya.

Dalam pada itu, terdapat terdapat juga netizen yang menyifatkan hujah dan alasan diberikan Muhyiddin itu dilihat seakan-akan sama seperti pernah dikeluarkan oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pemimpin itu berhadapan dengan perbicaraan kes salah guna kuasa sebelum ini.

"Macam pernah dengar jawapan ni," tulis Muhamad Hafiz.

"Awal jawab 'tak tahu', dulu mereka gelak dekat Najib jawab macam itu," kata Hasbuljalil.

Semasa perbicaraan dalam kes salah guna kuasa berjumlah RM42 juta dana, dana SRC International Sdn Bhd (SRC), Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan mengekalkan pendiriannya yang beliau tidak mengetahui wang digunakannya itu merupakan dana daripada syarikat terbabit.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Najib mula menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan kedua-dua hukuman tersebut atas kesalahan penyelewengan dana tersebut.

Dalam pada itu, Jamaludin Rahman pula berpandangan, perkembangan itu merupakan permulaan baik untuk memberikan peringatan kepada mana-mana pihak yang masih cuba untuk terus mengamalkan rasuah.

"Sekurangnya keadaan sudah berubah, akan ada dakwaan disiasat jika ada mana-mana pihak, pemimpin, kontraktor mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa selepas ini.

"...bagi peringatan kepada mana-mana pihak di luar sana yang cuba menyambung budaya dulu-dulu yang telah menjarah dan mencuri keuntungan milik rakyat dan negara," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram