DUA kanak-kanak sekolah rendah mengalami kecederaan ringan apabila apabila jeti yang digunakan menuju ke sekolah roboh di Kg Pababag di Semporna,Sabah pada Isnin
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, 23 murid lagi termasuk lima murid Tabika Kemas tidak mengalami sebarang kecederaan semasa terjatuh ke dalam laut apabila jeti itu tiba-tiba roboh semasa murid-murid berkenaan berada di atas jeti tersebut.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, laporan awal yang diperoleh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah.
"Akibat daripada runtuhan tersebut, dua orang murid cedera ringan manakala mangsa lain dilaporkan selamat. KPM melalui PPD Semporna juga telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.
"KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.
"KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang.
"Usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah.
Pada masa sama, KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram