'Hari ni simpan, esok hilang', guru sakit hati sistem data KPM kerap tergendala


  • Massa
  • Rabu, 25 Jan 2023

Tangkap layar salah satu sistem KPM yang didakwa tergendala apabila diakses oleh guru di negara ini.

SELEPAS lantang menyuarakan masalah yang dialami murid sekolah termasuk isu beg berat, kali ini guru pempengaruh menerusi media sosial, Mohd Fadli Salleh sekali lagi membangkitkan masalah dihadapi tenaga pengajar di negara ini.

Terbaharu, Mohd Fadli kesal apabila laman sesawang Kementerian Pendidikan (KPM) mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugasan memasukkan data ke dalam sistem tersebut.

Katanya, dia mengambil masa kira-kira 10 hingga 20 minit untuk memasukkan data, namun apabila butang hantar ditekan, sistem berkenaan terus tergendala.

"Terus keluar notification (pemberitahuan) 'Page Not Found' atau 'Error 404'. Kena mula balik.

"Lagi sakit hati, isi berpuluh nama dan maklumat murid, masa berjam-jam diperlukan sanggup bangun jam 3 hingga 4 pagi nak isi dan bagi line okay. Lepas dah simpan elok semua, buka esok data hilang," katanya.

Screenshot 2023-01-25 201531

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Mohd Fadli.

Berdasarkan perkongsian yang dibuat di laman Facebook guru terbabit, antara sistem yang dimaksudkannya ialah Sistem Bersepadu KPM (MOEIS), Aplikasi Pangkalan Data Murid dan Kehadiran (APDM), Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan KPM (EMIS) dan e-operasi.

Sistem tersebut digunakan untuk memasukkan data seperti mana ditugaskan kepada petugas KPM.

"Bertabahlah kawan-kawan, dunia makin maju, kemain misi nak pendidikan digital bagai, masalah web lembab sejak berpuluh tahun tak selesai sampai sekarang," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial dipercayai berkerjaya sebagai guru, turut mengalami nasib sama dan meluahkan rasa kesal.

Za'im Abd Hamid menafikan golongan guru malas mengisi data secara dalam talian, sebaliknya sering mengalami 'server' yang sangat lambat.

"Saban tahun ada sahaja platform baharu diperkenalkan untuk pengisian data online, tapi masalahnya tetap sama.

"APDM pun ada hari tak dapat nak askes masuk, e-Perancangan Rekod Mengajar (e-PREMA) pun lambat. Sistem Pengurusan IDentiti (idMe) usah dikenang, masih sesat berpusing-pusing. Buat untuk satu Malaysia isi dan guna. Tapi server?" soalnya.

En Norshahrizan menambah: "KPM dapat bajet paling besar RM55 bilion. Minta naik taraflah bangunkan sistem pendigital dan automasi pendidikan tu. Akses jalur lebat tu diperluas. Binalah sistem yang laju sikit dan mesra pengguna. Komputer di sekolah tu tukar perisian paling terbaharu.

Tulis NurAliya Abdullah: "Memang berasap pagi tadi.Kita seru menteri KPM buka salah satu daripada sistem ini setiap pagi dan cuba key in data - APDM, idMe, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), e-operasi, HRMIS. Kalau dia tak boleh, baru dia caya kat kita."

Romizah Hamzah berkata: "Buka jam 7.30 pagi tadi, masuk dlm kelas, keluar jam 10.20 pagi masih lagi pening duk buffering, jam 11.45 pagi dapat masuk kat muka depan, klik aplikasi, klik peperiksaan, dah situ dia buat kejung sampai ke sudah, off pc, drive balik."

Majoriti sudah pun menghubungi KPM dan pihaknya akan menyiasat perkara itu.

"Laporan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat," demikian menurut wakil pihak kementerian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram