KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu menukar waktu sesi persekolahan di Semenanjung bermula pukul 8 pagi, kata Dr Anuar Ahmad.
Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidkan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, cadangan tersebut selaras dengan konsep Malaysia Madani dan slogan 'Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera'.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mempunyai rasa belas kasihan dan empati terhadap keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang kebanyakannya terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi.
"Jika di bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beberapa pelajar SK Balambangan Banggi, di Kudat, Sabah terpaksa menaiki perahu untuk pergi dan balik dari sekolah.
Sementara itu di kawasan pedalaman, jelasnya, terdapat murid-murid yang terpaksa bersusah-payah untuk menuju ke sekolah tatkala cuaca masih gelap.
Beliau berkata, ini termasuk melalui jalan becak dan berlumpur, meredah denai kecil dan berperahu.
Ada murid tidak sempat bersarapan bersama keluarga kerana bergegas ke sekolah.
Bukan itu sahaja, katanya, ada di antara mereka yang tidak sempat bersarapan bersama keluarga disebabkan bergegas untuk ke sekolah.
"Jika kerajaan prihatin dengan kesejahteraan dan kesihatan rakyat, apa salahnya kita lakukan sesuatu yang betul untuk rakyat dengan mulakan sesi persekolahan pada pukul 8 pagi," tambahnya.
Untuk rekod, sesi persekolahan ketika ini bermula pukul 7.30 pagi.
Sebelum ini, cadangan sama pernah dilontarkan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram